Isu doktor kontrak cetus tsunami? - Utusan Malaysia

Isu doktor kontrak cetus tsunami?

SEBAHAGIAN pekerja pembersihan hospital sanggup menunggang motosikal kapcai untuk menyerahkan memorandum di Putrajaya. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SUDAH pasti ada sesuatu yang tidak kena apabila pekerja-pekerja pembersihan hospital sanggup menunggang motosikal kapcai dari Pulau Pinang ke Putrajaya semata-mata untuk menyerahkan memorandum.

Mereka yang bermotosikal sejak 5 Februari lalu sejauh 530 kilometer dijadualkan tiba di Kementerian Kesihatan, Putrajaya, hari ini.

Konvoi berkenaan disertai ahli-ahli Kesatuan Pekerja-pekerja Swasta Perkhidmatan Sokongan di Hospital-hospital Kerajaan Semenanjung Malaysia (Nuwhsas).

Saya difahamkan antara kandungan memorandum itu meminta Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin campur tangan supaya kerajaan menyerap kembali pekerja kontrak sebagai kakitangan tetap yang diupah langsung oleh kerajaan.

Mereka juga menuntut dibayar elaun Covid-19 kepada semua pekerja hospital kerajaan termasuk pekerja pembersihan.

Pada Mac 2020, anggota petugas kesihatan kementerian menerima Elaun Khas Covid-19 pada kadar RM400 sebulan.

Pada pembentangan Belanjawan 2021, anggota barisan hadapan terbabit menerima insentif tambahan RM500.

Malangnya, pekerja pembersihan sehingga sekarang masih tidak menikmati kedua-dua elaun tersebut.

Kehidupan mereka semakin susah apabila syarikat pemegang konsesi pembersihan menindas kesatuan sekerja dan tidak menjaga kebajikan dari segi gaji, elaun, cuti tahunan dan rawatan klinik panel.

Sebelum ini, doktor kontrak pun mengambil pendekatan sama dengan mengadakan demonstrasi bagi membuat pelbagai tuntutan.

Saya berharap lebih banyak saluran disediakan untuk menerima aduan kakitangan bawahan bagi mengelak mereka mengambil langkah drastik yang boleh menjejaskan imej kementerian.

Saya bimbang demonstrasi doktor kontrak sebelum ini bakal mencetus tsunami yang akan dicontohi pekerja kontrak lain.

MINAH KARAN, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN