Henti lulus kegiatan berisiko impak di hutan simpan - Utusan Malaysia

Henti lulus kegiatan berisiko impak di hutan simpan

MASYARAKAT umum tidak boleh menerima kegiatan pengusahasilan Kelantan yang dieksploitasi secara 'rakus'. -GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAKUSAN kegiatan pengusahasilan di Kelantan bertambah parah apabila hampir 28 peratus keluasan Hutan Simpan Kekal dizonkan untuk tujuan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur.

Malah, perjanjian persefahaman antara kerajaan negeri dengan sebuah syarikat baru-baru ini untuk melaksanakan pembangunan ladang monokultur ‘secara lestari’ bercanggah dengan ketetapan Mesyuarat Majlis Tanah Negara ke-79 yang bersetuju secara prinsip pelaksanaan moratorium kelulusan baharu penubuhan ladang hutan dalam kawasan hutan simpan.

Itu tidak termasuk kegiatan perlombongan dan pengkuarian dalam kawasan itu.

Pengusahasilan secara tebang habis untuk tujuan melaksana pembangunan ladang monokultur, perlombongan dan pengkuarian berskala besar dalam kawasan HSK memusnahkan litupan asal (hutan asli). Malah terdapat juga kawasan pelaksanaan pembangunan ladang monokultur merupakan kawasan rangkaian kkologi central forest spine (CFS) yang perlu dipelihara dan dilindungi.

Pemusnahan litupan hutan asal memberi impak terhadap hidrologi hutan apabila permukaan tanah terdedah kepada kadar curahan hujan yang tinggi serta menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas.

Hutan asli adalah aset yang sangat penting kerana salah satu fungsi dirian pokok dan tumbuhan ialah mampu menadah curahan hujan manakala reputan di lantai hutan melindungi tanah daripada impak secara terus curahan hujan.

Kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah bahawa keluasan HSK melebihi keluasan hutan pengeluaran adalah mengelirukan seolah-olah status tanah berbeza.

Berdasarkan Seksyen 7 Akta Perhutanan 1984 (Akta 313), pihak berkuasa negeri boleh mewartakan sesuatu kawasan tanah sebagai HSK manakala Hutan Pengeluaran adalah salah satu pengelasan HSK berdasarkan Seksyen 10(1)( a) akta sama.

Seterusnya, apakah status terkini perdagangan kredit karbon melibatkan 25 peratus daripada keluasan kawasan berhutan yang tidak mendapat persetujuan terlebih dahulu daripada Kerajaan Persekutuan?

Saya mengulangi gesaan agar kerajaan negeri Kelantan mempertimbang untuk menghenti dan tidak meluluskan lagi apa sahaja kegiatan yang berisiko impak di Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) terutama dalam kawasan HSK.

Saya juga berharap kerajaan negeri  dan pihak berkuasa berkaitan mematuhi dan mengguna pakai rancangan pemajuan terutama Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan lain-lain dasar yang berkaitan di samping menguatkuasakan peruntukan undang-undang sedia ada.

MEOR RAZAK MEOR ABDUL RAHMAN, Aktivis Alam Sekitar

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN