SAUDARA PENGARANG,
Pembangunan ekonomi negara amat bergantung kepada perdagangan maritim. Menurut statistik trafik yang dikeluarkan oleh Jabatan Laut, hampir 100,000 kapal melalui Selat Melaka pada tahun lalu. Ini menjadikannya sebagai salah satu laluan tersibuk di dunia yang mengendalikan kira-kira 25 peratus barangan dagangan dunia.
Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Tanjung Pelepas tersenarai antara 20 pelabuhan terbaik di dunia dari segi isi padu kontena.
Dengan demikian, kerajaan memberi keutamaan kepada sektor pengangkutan maritim selaras hasrat mencapai aspirasi negara maju melalui revolusi industri.
Menurut laporan Persidangan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perdagangan dan Pembangunanan (UNCTAD), pada 2020, Malaysia menduduki tempat ke-31 di dunia dalam pemilikan armada mengikut tan berat muatan dan kedudukan ke-23 dalam pendaftaran bendera mengikut berat muatan.
Umum mengetahui, pelaut bekerja dalam persekitaran yang sememangnya mencabar. Pandemik Covid-19 merumitkan lagi kehidupan mereka. Pelaut dianggap sebagai profesion yang terabai kerana kesejahteraan dan kebajikannya dipandang remeh.
Pelbagai cabaran dihadapi kesan daripada pandemik, antaranya tidak lagi dapat menikmati cuti, menjalani tempoh kuarantin yang panjang, tidak dibayar gaji dan prosedur ketat untuk menaiki atau menuruni kapal. Ini termasuk kesejahteraan mental dan fizikal.
Semua pihak masih menuding jari antara satu sama lain tentang sokongan kepada pelaut. Akibatnya, tiada satu pihak yang benar-benar membantu mereka pulang ke rumah dan menikmati masa bersama orang tersayang.
Andai benar seperti dikata, pelaut adalah individu terpenting yang bekerja tanpa jemu bagi mengekalkan operasi rantaian bekalan global dalam industri maritim. Justeru, pengabaian tidak sepatutnya berlaku.
Mereka adalah wira tidak didendang yang berkorban pada waktu sukar untuk menghantar bekalan dan keperluan ke rumah walaupun terdapat isu kebimbangan kesihatan dan sekatan perjalanan.
Pihak berkepentingan dalam industri maritim seperti pemilik kapal, kesatuan pelaut dan pertubuhan bukan kerajaan harus berganding bahu dengan Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan untuk menyediakan panduan komprehensif dan koheren bagi meminimumkan kesan pandemik terhadap 6,108 pelaut aktif Malaysia yang memberikan khidmat kepada kapal asing dan domestik.
Sudah tiba masanya untuk kita mengiktiraf jasa dan sumbangan pelaut dengan melindungi kepentingan mereka. – UTUSAN
Dr. IZYAN MUNIRAH MOHD. ZAIDEEN & KEPTEN MOHD. FAIZAL RAMLI, Universiti Malaysia Terengganu