SAUDARA PENGARANG,
PILIHAN Raya Negeri (PRN) Johor kali ini adalah yang pertama membenarkan pemilih dalam kalangan usia 18 hingga 20 tahun untuk menjadi pengundi (Undi18) setelah diwartakan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 14 Januari lalu.
Selain perubahan dalam politik, saya berpendapat, sudah sampai masanya perubahan dilakukan dalam bidang ekonomi melibatkan golongan belia yang ditakrifkan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia sebagai individu berusia antara 15 hingga 24 tahun.
Berikut kita cuba soroti perubahan yang boleh dilakukan melibatkan belia dalam bidang ekonomi dan langkah itu juga sejajar dengan apa yang sebenarnya dimahukan oleh orang muda.
Antaranya, galakkan belia berhijrah ke kawasan pinggir bandar. Ini kerana belia semakin menyedari apabila mereka berhijrah ke bandar besar untuk mendapatkan pekerjaan, sebahagian besar daripada pendapatan digunakan untuk memenuhi keperluan harian. Terdapat sedikit yang tinggal sebagai simpanan atau untuk melabur bagi keperluan masa depan.
Sementara itu, di pinggir bandar, gaji diperoleh tidak banyak berbeza. Pekerjaan sektor runcit dan perkhidmatan di kawasan pinggir bandar menawarkan gaji yang hampir setanding.
Oleh itu, sudah sampai masanya belia berpindah dan mencari pekerjaan di kawasan pinggir bandar di mana peluang pekerjaan baharu semakin meningkat.
Ini kerana wujud pertumbuhan sektor ekonomi yang menawarkan lebih banyak pekerjaan muncul di kawasan pinggir bandar.
Sebelum pandemik Covid-19, rangkaian francais global seperti Domino, Subway dan Pizza Hut serta beberapa jenama runcit mula mengembangkan operasi ke pinggir bandar. Jika ramai belia berhijrah ke kawasan ini, keinginan golongan muda untuk menikmati kualiti hidup lebih baik akan menyebabkan kawasan pinggir bandar menjadi semakin menarik.
Kawasan pinggir bandar yang dekat dengan kediaman belia boleh menjadi tempat menarik kerana terdapat ibu bapa yang enggan membenarkan anak-anak melakukan perjalanan jauh untuk bekerja memandangkan kebimbangan keselamatan akibat pandemik Covid-19.
Oleh itu, wujud paradoks, walaupun pendapatan isi rumah menurun, ibu bapa tidak menggalakkan anak-anak bekerja kerana tidak mahu mereka berjauhan daripada keluarga.
Oleh itu, kawasan pinggir bandar boleh menawarkan pekerjaan yang boleh dijadikan batu loncatan sebelum mereka menceburi kerjaya yang benar-benar diinginkan.
Mereka mungkin berkata, “matlamat saya adalah untuk menjadi jururawat dan saya akan bekerja sementara di kedai Cendol Pak Dollah supaya boleh mula menjana pendapatan.”
“Sekurang-kurangnya jika dapat memasuki dunia pekerjaan, saya akan mengembangkan beberapa kemahiran dalam berurusan dengan orang ramai, sambil terus bekerja untuk matlamat lebih besar untuk belajar bagi menjadi seorang profesional penjagaan kesihatan.”
Oleh itu, kerja pertama adalah kerja peralihan. Ia adalah langkah pertama untuk mendapatkan gaji supaya dapat menyara diri dan aspirasi mereka serta menyumbang kepada keluarga sambil memikirkan kejayaan jangka panjang untuk diri sendiri.
MOHAMMAD NOORIZZUDDIN NOOH, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)










