Bersedialah disaman perokok muda - Utusan Malaysia

Bersedialah disaman perokok muda

Rang Undang-Undang Generasi Penamat (GEG) lagi dirujuk semula kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) Kesihatan untuk penambahbaikan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN perlu mengharamkan penjualan rokok dan vape kepada semua pihak, bukan setakat melarang penjualannya kepada mereka yang lahir selepas 2005 sahaja seperti diumumkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Walaupun cadangan larangan penjualan rokok dan vape terhadap mereka yang lahir selepas 2005 dilihat satu langkah yang baik, namun agak sukar untuk menguatkuasa larangan berkenaan kerana mungkin terdapat golongan dewasa tidak bertanggungjawab yang akan menghulurkan rokok atau vape kepada perokok muda terbabit.

Terdapat juga kebimbangan golongan yang lahir selepas 2005 akan berusaha mendapatkan bekalan rokok atau vape daripada sumber-sumber haram iaitu bahan seludup atau buatan sendiri.

Golongan yang lahir selepas 2005 juga boleh mengambil tindakan mahkamah kelak terhadap undang-undang larangan yang dicadangkan Khairy kerana mereka melihatnya sebagai satu bentuk diskriminasi.

Mereka mungkin akan berhujah di mahkamah, kenapa individu yang dilahirkan selepas 2005 tidak dibenarkan untuk mendekati diri dengan rokok dan vape sementara mereka yang lahir sebelum tahun berkenaan masih dibenarkan?

Oleh yang demikian, lebih baik sekiranya kerajaan melarang penjualan rokok dan vape sepenuhnya supaya ia dapat memudahkan proses penguatkuasaan undang-undang dan pada masa sama boleh memberi keadilan kepada semua pihak. Umum telah tahu bahaya yang dibawa oleh rokok dan vape.

Ia bukan sahaja boleh berlaku terhadap diri penghisap bahan itu sendiri malah melibatkan orang sekeliling melalui asap yang dihasilkan.

Walaupun isu bahaya yang dibawa oleh rokok dan vape ini telah diketahui, namun masih ramai penghisap bahan itu memandang ringan terhadap perkara ini.

Malah ada juga yang menganggap menghisap rokok dan vape sebagai satu bentuk hak asasi yang perlu dihormati oleh semua pihak.

Bagaimanapun, tidak terdapat peruntukan jelas menyatakan penghisap rokok dan vape mempunyai hak untuk menghisap bahan itu sama ada di bawah Perlembagaan Persekutuan atau Perisytiharan Antarabangsa Hak Asasi Manusia Sejagat (UDHR).

Isu hak individu untuk menghisap rokok dan vape ini juga telah banyak kali dibangkitkan di beberapa negara di Eropah serta Amerika Syarikat.

Usaha telah diambil oleh golongan ini untuk menegakkan hak mereka bagi menggunakan rokok dan vape.

Namun, segala usaha diambil oleh mereka menemui kegagalan. Apa yang paling penting ialah hak untuk menjaga kesihatan serta melindungi alam sekitar daripada kesan rokok dan vape.

Berdasarkan perkara ini, apa yang paling jelas kini hanya hak untuk setiap manusia hidup dalam persekitaran dan udara yang bersih serta hak bagi melindungi kesihatan mereka.

Ini jelas termaktub di bawah Artikel 8, Konvensyen Rangka Kerja Kawalan Tembakau (FCTC), Pertubuhan Kesihatan Sedunia yang ditandatangani dan disahkan oleh Malaysia pada Disember 2005.

Ia memperuntukkan dengan jelas bahawa setiap negara anggota termasuk Malaysia adalah komited untuk mengambil tindakan melindungi orang awam daripada ancaman asap rokok yang boleh memudaratkan kesihatan mereka.

Oleh yang demikian, lebih baik sekiranya kita dapat melarang penjualan rokok dan vape sepenuhnya kepada semua pihak jika kita benar-benar ingin menjadikan rakyat bebas daripada masalah ketagihan bahan itu.

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN