Bela orang lemah lebih utama

Bela orang lemah lebih utama

orang
BERBUAT baik kepada anak yatim adalah kewajipan sosial setiap orang Islam. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

TERIMA kasih kepada Senator Datuk Idris Ahmad atas inisiatif beliau selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melancarkan kempen Sambutan Bulan Solat Kebangsaan.

Program ini bertujuan menyemarakkan roh dan semangat umat Islam untuk mempertingkat amal ibadah. Di samping itu ia memberi kesedaran kepada masyarakat akan kewajipan solat yang diperintahkan pada bulan Rejab ini.

Sesungguhnya untuk pergi jauh lebih daripada apa yang hendak dilakukan itu,. Apa salahnya kita sama-sama merenungi hadis Nabi SAW yang menyebut, membela nasib orang yang lemah merupakan amal utama yang mendapat pahala lebih besar daripada ibadah-ibadah sunat.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Orang yang bekerja keras untuk membantu janda dan orang miskin adalah seperti pejuang di jalan Allah atau seperti terus menerus solat malam atau terus menerus puasa.” (Hadis Riwayat Muslim)

Di dalam al-Quran iaitu surah al-Maa’uun, Allah SWT menjanjikan pembalasan dan seksaan neraka terhadap orang yang telah kehilangan kepekaan sosial mereka dalam masyarakat.

Mereka tidak bangkit semangat untuk mengeluarkan harta walau sedikit pun untuk membantu sesama manusia. Mereka menjadi kedekut dan bakhil. Mereka memiliki kebiasaan mengherdik anak yatim dan tidak memberi makanan kepada fakir miskin.

Surah al-Maa’uun juga memperlihatkan perilaku manusia dalam beribadah yang dikategorikan pendusta agama. Mereka melalaikan solat dalam erti melaksanakan solat tanpa keikhlasan dan kekhusyukan atau tidak menunaikannya dengan betul.

Solat mereka tidak lebih daripada ucapan lisan serta gerak badan yang telah terbentuk sedemikian rupa tanpa penghayatan makna serta hikmah.

RITUAL

Manusia yang digambarkan dalam surah al-Maa’uun tidak menempatkan solat sebagai saranan untuk berkomunikasi dengan Tuhan, melainkan hanya sebagai ibadah ritual dalam kehidupan mereka.

Menurut sarjana Islam, Fazlur Rahman, antara tema utama al-Quran ialah membela, menyelamatkan, membebaskan, melindungi dan memuliakan kelompok lemah atau yang dilemahkan, yang menderita atau dibuat menderita.

Dalam sebuah hadis Qudsi diriwayatkan, Allah SWT hanya menerima solat daripada orang yang menyayangi orang miskin, musafir, wanita yang ditinggalkan suaminya dan menyayangi orang yang mendapat musibah.

Dalam pada itu, menyayangi dan berbuat baik kepada anak yatim adalah kewajipan sosial setiap orang Islam. Membela anak yatim adalah salah satu usaha perjuangan Islam yang jarang dilakukan orang. Seorang ulama, Syeikh Muhammad Abduh berkata,

“Allah berkali-kali menegaskan wasiat tentang anak yatim di dalam al-Quran dan al-sunnah. Cukuplah bagimu untuk diketahui bahawa al-Quran melarang mengherdik anak yatim dan mengancam dengan ancaman yang berat kepada orang yang memakan harta anak yatim.”

Saat ini, ketika kita sering terpukau oleh kemewahan dunia tatkala orang miskin berteriak menunggu pembelanya, kita memerlukan pemimpin seperti Rasulullah SAW. Pemimpin Islam ialah pemimpin rakyat kecil, bukan pemimpin yang elit.

Pemimpin umat Islam ialah mereka yang memilih hidup sederhana kerana tahu sebahagian umat Islam yang lain masih hidup dalam kepapaan.

Gerakan kebangkitan Islam seharusnya tidak hanya meyemarakkan masjid, melainkan juga menggembirakan orang yang lemah dan fakir. –UTUSAN

MOHD. SHAUKI ABD. MAJID, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya