MELAKA: Ketua Menteri, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh menegaskan, tiada keperluan menangguhkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, sebaliknya proses demokrasi itu boleh dilaksanakan pada bila-bila masa dalam tempoh yang dibenarkan mengikut undang-undang.
Beliau berkata, cadangan penangguhan yang ditimbulkan sebelum ini tidak mempunyai asas kukuh untuk dipertimbangkan kerajaan negeri.
Beliau berkata, tempoh pentadbiran Dewan Undangan Negeri (DUN) mempunyai had yang jelas dan dalam tempoh ditetapkan, PRN boleh diadakan pada bila-bila masa.
“Apa perlunya PRN ditangguhkan kerana menurut Perlembagaan pentadbiran kerajaan negeri ini akan tamat pada 30 Disember ini.
“Di antara Mei hingga 30 Disember pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa dan saya tidak nampak ada keperluan mengapa ia perlu ditangguhkan kerana asasnya tidak cukup untuk menyokong cadangan penangguhan itu,” katanya dalam sidang akhbar selepas majlis perasmian pecah tanah bagi cadangan pembangunan Enrique of Malacca Shipyard di kawasan Straits of Malacca Waterfront Economic Zone (SM-WEZ) di Klebang di sini, hari ini.
Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan, kenyataan Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berhubung cadangan menangguhkan PRN Johor dan Melaka adalah pandangan peribadi dan bukan pendirian rasmi UMNO dan Barisan Nasional (BN).
Pengerusi BN, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, sebarang kenyataan berkaitan keputusan pilihan raya perlu dilihat sebagai pendirian individu sekiranya tidak diputuskan secara bersama oleh kepimpinan parti.
Ab. Rauf berkata, sebarang keputusan berkaitan penangguhan pilihan raya perlu disandarkan kepada faktor yang benar-benar mendesak serta mengambil kira kepentingan rakyat secara menyeluruh.
“Kerajaan negeri berpandangan bahawa proses demokrasi perlu diteruskan seperti biasa selaras dengan prinsip dan peruntukan undang-undang,” ujarnya. – UTUSAN










