5G: Jangan kita ulangi silap sama - Utusan Malaysia

5G: Jangan kita ulangi silap sama

BUKAN sahaja sistem internet sedia masih mendapat aduan, bahkan mendedahkan mereka yang terpinggir untuk menerima akses kemudahan tersebut.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DALAM sesi siaran langsung Facebook, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim menggariskan beberapa perkara seperti rasuah, korupsi, penyalahgunaan kuasa dan isu Digital Nasional Berhad (DNB) berhubung rangkaian 5G.

Sementara kiriman Facebook milik Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dan Datuk Seri Mohamad Hasan turut mempersoalkan mandat DNB dalam melaksanakan 5G.

Perkembangan berkaitan persamaan mesej mereka mempersoalkan DNB tidak nampak seperti satu kebetulan. Tambahan pula, Perdana Menteri dan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang telah bertukar turut berjanji mahu menilai semula isu ini dalam mesyuarat Kabinet.

Isu ini menimbulkan banyak tanda tanya. Adakah DNB menggunakan wang kerajaan? Adakah memerlukan jaminan kerajaan seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB)? Adakah memilih rakan pelaksana yang mahal mahupun kontroversi seperti tuduhan sebuah pembekal teknologi 5G dari China yang didakwa menggodam, mencuri rahsia dagang dan menyalurkan maklumat risikan kepada pihak tentera di lebih 18 negara?
Tidak. Jadi, mana salah DNB selain diputuskan pada zaman pentadbiran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Datuk Saifuddin Abdullah?

Antara tuduhan yang dilemparkan adalah berkaitan monopoli. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dalam satu kajian pada 2019 mendedahkan kegagalan syarikat telekomunikasi dalam memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat. Justeru, sumber mengatakan kertas kerja itu yang menjadi titik tolak kepada penubuhan DNB dan single wholesale network akan mengutamakan pembekalan dan bukannya permintaan.

Misalnya, jika Bangsar yang mempunyai kira-kira 50,000 penduduk mestilah tidak sepenting mendapat 5G seperti 80,000 penduduk di Sungai Besar, Sabak Bernam dan Tanjung Karang. Jika melihat sistem sebelumnya iaitu 4G, kita dapat lihat syarikat telekomunikasi mengutamakan penduduk yang ramai dan mampu membayar perkhidmatan terbaik.

Amat mengejutkan apabila kepimpinan UMNO yang kuat dan berakar umbi di kawasan kampung bangkit bersama Anwar untuk membelakangkan satu sistem yang dilihat baik untuk rakyat tanpa mengira cabaran geografi.

Kerajaan perlu mengingat kembali keputusan membatalkan Pusat Keamanan Antarabangsa Raja Salman, keputusan kereta api berkelajuan tinggi (HSR) yang melibatkan kerugian ratusan juta ringgit serta langkah rundingan semula Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) membabitkan kehilangan banyak peluang pekerjaan yang sepatutnya menjadi pengajaran kerana bukan sahaja menjatuhkan kredibiliti kerajaan tetapi membawa kesan kepada rakyat.

SYAMSUL ANUAR WAHID, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN