Rimas warga asing di Angsana Hilir - Utusan Malaysia

Rimas warga asing di Angsana Hilir

PENINGKATAN bilangan warga asing di Taman Angsana Hilir, Kuala Lumpur menimbulkan kebimbangan dalam kalangan penduduk
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SUASANA di Taman Angsana Hilir, Kuala Lumpur terutama pada hujung minggu memperlihatkan ramai warga asing terutama warga Bangladesh, Nepal dan Pakistan berkunjung ke beberapa kedai makan di sini pada waktu petang.

Kehadiran mereka yang selalunya secara berkumpulan memberi rasa kurang selesa kepada penduduk.

Mereka bukan sahaja berkumpul beramai-ramai tanpa penjarakan fizikal, tetapi mereka juga makan dan minum selain turut membuang sampah di kawasan sekitar.

Selain faktor kesihatan, penduduk risau sekiranya golongan ini membawa pelbagai masalah lain termasuk sosial terutama kepada kanak-kanak dan remaja.

Kedatangan mereka dalam bilangan yang ramai boleh menimbulkan pelbagai isu termasuk pergaduhan, pengedaran dadah, pecah rumah, kes bunuh, kerosakan harta benda, monopoli perniagaan, pembukaan penempatan haram, pergaulan bebas dan sebagainya.

Sudahlah Taman Angsana Hilir ‘berjiran’ dengan Kampung Pandan atau lebih dikenali sebagai perkampungan Indonesia, kini kawasan perumahan itu semakin dipenuhi warga asing.

Sebagai ibu bapa, saya risau untuk membenarkan anak keluar walaupun ke taman perumahan tanpa diawasi orang dewasa bagi mengelakkan perkara yang tidak diingini. Saya juga tidak mahu melihat anak-anak membesar di kawasan yang penuh dengan warga asing yang kita tidak pasti sama ada kehadiran mereka mengikut undang-undang atau secara haram.

Walaupun ramai yang rimas dengan masalah kebanjiran warga asing, tetapi nampaknya kerajaan tidak menghiraukan masalah yang dihadapi rakyat dengan menggalakkan mereka ke Malaysia untuk mengisi kekosongan di beberapa sektor penting dalam negara.

Kita berharap akan ada penyelesaian berhubung perkara ini. Janganlah hanya kerana mengejar untung semata-mata sehingga mengabaikan keselamatan rakyat. 

Walaupun mereka membawa manfaat dalam proses pembangunan negara  dalam pelbagai sektor namun, dengan jumlah mereka yang semakin meningkat dan mencecah jutaan orang boleh mengganggu-gugat ekonomi dan masyarakat tempatan. 

AHMAD, Kuala Lumpur

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya