Penerbangan sewa khas terus dari Poland ke Pulau Pinang bermula November

Penerbangan sewa khas terus dari Poland ke Pulau Pinang bermula November

SEBAHAGIAN daripada anggota delegasi industri pelancongan dari Poland bergambar kenangan ketika menyertai FAM Trip ke Pulau Pinang, baru-baru ini.-GAMBAR/FACEBOOK WONG HON WAI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GEORGE TOWN: Pulau Pinang bakal mencatatkan sejarah baharu dalam sektor penerbangan antarabangsa apabila menerima penerbangan sewa khas terus pertama dari Poland bermula 26 November ini sehingga 27 Mac 2027.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Wong Hon Wai berkata, perkembangan tersebut dijangka membuka lembaran baharu dalam usaha memperkukuh pasaran pelancongan Eropah ke negeri ini.

Katanya, penerbangan mingguan yang dikendalikan oleh syarikat Rainbow Tours itu dijangka membawa ribuan pelancong Poland dan beberapa negara Eropah lain sepanjang tempoh empat bulan musim sejuk.

“Inisiatif itu merupakan satu kejayaan besar dalam memperluas akses penerbangan antarabangsa ke Pulau Pinang selain mengukuhkan kedudukan negeri ini sebagai destinasi pilihan pelancong Eropah yang mencari lokasi percutian musim sejuk,” katanya di sini, hari ini.

Hon Wai berkata, sebagai persediaan menjayakan program berkenaan, satu lawatan suai kenal atau FAM Trip melibatkan 41 peserta diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Rainbow Tours bersama pemilik syarikat dan ejen jualan utama ke Pulau Pinang, telah diadakan baru-baru ini.

Katanya, lawatan bertujuan memperkukuh kerjasama strategik, meningkatkan pemahaman mengenai produk pelancongan Pulau Pinang serta merangsang jualan pakej pelancongan menjelang pelaksanaan penerbangan sewa khas tersebut.

Menurutnya, Rainbow Tours antara pengendali pelancongan utama Poland sebelum ini telah menyumbang kepada pertumbuhan sektor pelancongan Malaysia menerusi kemasukan pelbagai kumpulan pelancong dari negara itu.

“Pengenalan penerbangan terus itu dijangka mengurangkan halangan perjalanan dan meningkatkan daya saing Pulau Pinang di Asia Tenggara selain memberi impak ekonomi positif kepada sektor penginapan, makanan dan minuman, pengangkutan, tarikan pelancongan serta perusahaan kecil dan sederhana tempatan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, Poland dilihat sebagai pasaran baharu berpotensi tinggi memandangkan pelancong negara itu cenderung tinggal lebih lama, memilih pakej pelancongan berkumpulan dan mempunyai perbelanjaan lebih tinggi terutama bagi pengalaman budaya.

Sehubungan itu katanya, kempen pemasaran bersama secara agresif akan dilaksanakan di negara itu melalui platform digital termasuk Google, Meta, portal popular Onet.pl selain pemasaran pangkalan data dan aplikasi mudah alih bagi meningkatkan kesedaran serta tempahan semasa tempoh jualan kritikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN