Pertimbang bantuan tunai RM10,000 - Utusan Malaysia

Pertimbang bantuan tunai RM10,000

JUMLAH kerugian dialami mangsa banjir adalah berpuluh ribu ringgit termasuk kerosakan perabot, pakaian, barangan elektrik dan kenderaan. – UTUSAN/AFIQ RAZALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN diharap dapat mempertimbangkan secara serius cadangan memberikan bantuan RM10,000 kepada setiap keluarga yang terpaksa dipindahkan semasa banjir melanda beberapa kawasan, bulan lalu.

Berdasarkan laporan akhbar, terdapat kira-kira 300,000 keluarga dalam kategori ini. Kerugian mereka adalah berpuluh ribu ringgit termasuk kemusnahan perabot, pakaian, barangan elektrik dan kenderaan.

Membenarkan mereka mengeluarkan wang daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tidak akan mencukupi kerana ramai sudah menghabiskan wang caruman mereka untuk membiayai perbelanjaan semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Bantuan RM10,000 kepada 300,000 keluarga bersamaan RM3 bilion untuk seluruh negara. Ini boleh membantu mereka untuk membiayai perbelanjaan paling penting yang diperlukan untuk pulih daripada banjir.

Dalam perkembangan lain, marilah kita memulaukan ahli politik, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu yang berniat jahat bagi menimbulkan ketegangan antara kumpulan etnik di negara ini. Ramai dalam kalangan mereka memainkan sentimen dengan menyalahkan etnik lain bagi mendapat perhatian dan sokongan.

Namun, jika rakyat menolak, maka mereka akan mengubah nada. Meskipun tidak benar-benar percaya pada propaganda sendiri, tetapi mereka berbuat demikian kerana itulah cara meraih sokongan.

Curahan perasaan muhibah yang kita saksikan semasa kejadian banjir baru-baru ini jelas menunjukkan majoriti rakyat ialah orang baik hati yang mendoakan kebaikan untuk saudara senegara mereka.

Marilah kita memanfaatkan semangat muhibah ini untuk membina sebuah negara yang lebih baik dan harmoni. Kita semua berperanan untuk menjadikan masyarakat kita lebih baik, lebih hijau dan lebih adil.

DR. JEYAKUMAR DEVARAJ, Bekas Ahli Parlimen Sungai Siput.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN