PARLIMEN: ART tidak halang dasar teknologi nuklear negara

PARLIMEN: ART tidak halang dasar teknologi nuklear negara

FADILLAH YUSOF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) tidak mengehadkan kedaulatan negara dalam menentukan hala tuju dasar serta kerjasama strategik program tenaga nuklear dengan mana-mana pembekal.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof berkata, peruntukan dalam perjanjian itu secara dasarnya tidak menghalang Malaysia daripada memperoleh atau membeli reaktor nuklear, bahan api nuklear atau bahan nuklear lain daripada negara selain AS.

Katanya, sekiranya tawaran daripada negara lain lebih kompetitif dari segi teknikal dan komersial berbanding tawaran AS, Malaysia boleh menimbangnya.

“Artikel ini tidak menyatakan sebarang halangan untuk Malaysia menjalinkan hubungan atau kerjasama dengan mana-mana negara lain dalam pelbagai aspek berkaitan tenaga nuklear termasuk latihan, penyelidikan, pembangunan keupayaan, keselamatan nuklear, radiasi dan lain-lain.

“Oleh itu, ART tidak mengehadkan kedaulatan Malaysia dalam menentukan hala tuju dasar dan kerjasama strategik program tenaga nuklear dengan mana-mana negara pembekal teknologi nuklear termasuk Russia, China, Perancis dan Korea,” katanya dalam jawapan bertulis disiarkan di laman rasmi Parlimen hari ini.

Beliau menjawab soalan Syerleena Abdul Rashid (PH-Bukit Bendera) mengenai Artikel 5.3 dalam perjanjian itu yang dikhuatiri mengehadkan perolehan bahan nuklear daripada “negara-negara tertentu” dan memberi kesan kepada hala tuju dasar nuklear Malaysia dalam konteks kerjasama dengan empat negara terbabit.

Fadillah yang juga Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air berkata, kerajaan akan terus mengamalkan pendekatan seimbang, berkecuali dan berasaskan kepentingan nasional dalam mempertimbangkan sebarang kerjasama dan pembangunan teknologi nuklear selaras dengan komitmen dan keperluan undang-undang antarabangsa.

Pada 26 Oktober tahun lalu, Malaysia dan AS menandatangani ART ketika Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.

Perjanjian itu melibatkan cadangan AS untuk merunding semula tarif terhadap Malaysia daripada 25 peratus kepada 19 peratus di bawah Executive Order 14257 yang dikeluarkan Presiden Donald Trump pada 2 April 2025.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN