Majoriti tak sedar ditipu - Utusan Malaysia

Majoriti tak sedar ditipu

JANGAN malu untuk membuat aduan kepada pihak berwajib atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pengguna sekiranya ditipu oleh peniaga.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

DIANGGARKAN sembilan daripada 10 orang tidak pernah membuat aduan apabila mereka dipedaya manakala selebihnya tidak menyedari menjadi mangsa penipuan.

Malah, ramai lagi yang tidak mengetahui cara membuat aduan bagi mendapatkan ganti rugi selain berasa malu. Kadangkala penipuan ini sukar dibuktikan di sisi undang-undang oleh penguat kuasa disebabkan klausa ‘tidak salah hingga dibuktikan salah’ yang selalunya membabitkan penipuan berkaitan jualan ansuran dan kerja-kerja memperbaiki alat-alat perkakasan rumah.

Selalunya pengguna, pembeli atau pelanggan diminta menandatangani perjanjian berkaitan segala hak dan undang-undang yang melindungi mereka dihapuskan.

Selain mengakibatkan kerugian fizikal ke atas pengguna, ia juga boleh disebabkan penghinaan dan kerosakan nilai moral. Ini kerana mangsa selalunya terdiri daripada mereka yang tidak mampu menerima kerugian seperti golongan kurang berkemampuan dan tidak berpelajaran. Penipuan ini juga menyasarkan orang berpelajaran tinggi.

Justeru, pengguna dinasihatkan tidak membazir dengan membeli barangan yang tidak diperlukan hanya semata-mata ia murah selain tidak mudah terpedaya dengan jualan ‘peluang keemasan’ atau ‘berjimat sekali seumur hidup.’

Pengguna juga diminta mengambil masa secukupnya untuk membandingkan harga dan tetapkan fikrian tanpa perlu terburu-buru.

Penting untuk pengguna membaca label, kertas tanda atau jaminan. Simpan surat-surat jaminan di tempat yang selamat.

Dalam pada itu, jangan menandatangani perjanjian sehingga dan sebelum membaca dan memahaminya. Ini termasuk tidak menandatangani perjanjian yang mempunyai baris-baris kosong. Sentiasa simpan satu salinan sebarang perjanjian yang telah ditandatangani. Sila baca huruf-huruf yang dicetak halus dengan teliti.

Bagi mengelak menjadi mangsa penipuan, jangan terima atau bergantung kepada jaminan atau janji lisan sebaliknya dapatkan secara bertulis.

Pengguna juga diminta tidak membayar secara tunai kepada penjual dari rumah (COD). Lebih baik membayar menggunakan cek atau perbankan dalam talian dengan nama syarikat yang diwakilinya.

Penting juga bagi pengguna tidak sesekali membenarkan alat perkakas rumah seperti televisyen, radio dan lain-lain dibawa pergi dari kediaman untuk diperbaiki tanpa mendapat jaminan bertulis bahawa tidak ada bayaran tambahan yang akan dikenakan atau tanpa pengetahuan kita.

Diharap langkah ini dapat membantu orang ramai untuk lebih berhati-hati semasa melakukan pembelian sekaligus mengelak daripada ditipu.

BULBIR SINGH, bekas Presiden Persatuan Pengguna Negeri Sembilan

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya