SAUDARA PENGARANG,
PELETAKAN jawatan oleh Tan Cheng Hoe sebagai jurulatih bola sepak negara memang sudah dijangka. Apatah lagi banyak pihak menyalahkan beliau atas kegagalan kita dalam Piala AFF Suzuki 2020.
Dalam perlawanan itu, Malaysia yang kali terakhir muncul juara pada 2010 memulakan kempen dengan mengalahkan Kemboja 3-1 sebelum membenam Laos 4-0. Kelemahan Malaysia mula menyerlah selepas kalah 0-3 kepada juara bertahan, Vietnam.
Bagi saya, memang beliau tidak sepatutnya dipersalahkan secara mutlak atas kegagalan itu. Latihan terlalu singkat, ketiadaan ramai pemain utama dan faktor di luar kawalannya membawa kegagalan tersebut.
Kini pencarian jurulatih baharu sedang diusahakan. Seperti yang saya pernah tulis di sini bulan lalu, jurulatih dari Korea Selatan atau Jepun perlu difikirkan dengan serius oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).
Kita perlu sedar, pasukan Korea Selatan dan Jepun sudah begitu jauh di hadapan dalam ranking dunia. Liga bola sepak mereka antara terbaik di Asia yang menjadi idaman pemain terbaik banyak negara.
Negara berkenaan juga sudah beberapa kali bertanding di peringkat Piala Dunia. Jadi, pastinya jurulatih mereka punya wibawa.
Sedarkah kita, ranking bola sepak dunia bagi Jepun ialah 26 dan Korea Selatan pula 33? Ranking terbaharu kita 154. Betapa jauh jurang di antara mereka dengan kita.
Negara kita sudah begitu lama terperosok di tangga melebihi 150 ranking dunia sedangkan Vietnam nombor 98 dan Thailand 115.
Ramai pemain mereka bermain di liga utama Eropah. Pemain seperti Son Heung-Min, Shinji Kagawa dan Park Ji Sung memang tidak asing lagi. Kini, pemain Jepun yang bermain di Eropah adalah di Jerman sebanyak 41 orang, Sepanyol (21), Belgium (15), Perancis (enam), England (lima), Brazil (tiga) dan Itali (dua).
Statistik Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menunjukkan lebih 150 pemain Jepun bermain di liga luar negara. Itu belum disentuh Korea Selatan.
Yang pasti, jurulatih mereka tentu mahukan amalan profesionalisme dan disiplin tinggi dalam kalangan pemain. Tiada tolak ansur untuk itu. Dan mereka tentu mahukan kuasa penuh memilih pemain dan tidak memilih pemain secara tangkap muat.
Kini FAM memiliki Pengarah Teknikal baharu, Scott O’Donell yang pernah bermain untuk pasukan Kuala Lumpur. Beliau berpengalaman bermain dan terbabit dalam bola sepak di beberapa negara di Asia. Kita mengalu-alukan kehadiran beliau untuk membantu pembangunan bola sepak kita.
O’Donell, Ketua Pegawai Eksekutif Liga Bola Sepak Malaysia (MFL), Stuart Ramalingam dan barisan kepimpinan FAM serta bola sepak negeri perlu duduk semeja untuk merumus pelan terbaik mencemerlangkan bola sepak negara.
Jun ini, Harimau Malaya bakal bersaing untuk kelayakan Piala Asia 2023. Kita tidak mahu dengar lagi masih ada isu tentang latihan singkat, pengambilan pemain utama dan pemain kurang minit permainan pada masa itu.
Jangan ada sikap pemain yang sudah berpuas hati bermain di liga kita dan bermain ala kadar di peringkat antarabangsa. Bermainlah demi jersi Malaysia.
Kembalikan kegemilangan bola sepak kita era Allahyarham Mokhtar Dahari, Soh Chin Aun, Santokh Singh dan Abdul Ghani Minhat.
MUSTAFFA SIRAJ, Batu Pahat, Johor