Balak: Kenyataan MB Kelantan menggelirukan - Utusan Malaysia

Balak: Kenyataan MB Kelantan menggelirukan

KERAJAAN negeri Kelantan harus memahami bahawa apabila kawasan Central Forest Spine (CFS) yang dikategori sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) dimusnahkan dan dilakukan aktiviti selain guna tanah hutan, impaknya adalah terhadap ekosistem persekitaran.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KENYATAAN Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan timbalannya, Datuk Mohd. Amar Nik Abdullah baru-baru ini berhubung isu pembalakan (pengusahasilan) mengelirukan dan tidak bersandar kepada disiplin dalam bidang berkaitan pengurusan hutan dan alam sekitar.

Kenyataan kedua-dua pemimpin tersebut yang mengatakan negeri itu mengamalkan pengurusan hutan secara mampan, mematuhi kuota Catuan Tebangan Tahunan (CTT) dan memperoleh pensijilan Kriteria dan Petunjuk Malaysia (MC&I) di bawah Skim Pensijilan Kayu Balak (MTCS) boleh dipersoal kerana sijil tersebut telah ditarik balik sejak 11 Mac 2016 disebabkan mengusahasil melebihi kuota CTT.

SIRIM QAS Sdn. Bhd. telah membuat keputusan tersebut setelah Unit Pengurusan Hutan Negeri Kelantan gagal membuat penambahbaikan terhadap Permintaan Langkah Pembetulan yang dikendali oleh SIRIM QAS International Sdn. Bhd.

Masyarakat umum tidak mempersoal aktiviti pengusahasilan dilakukan secara sah atau tidak malah tidak juga menafikan hasil hutan adalah salah satu pendapatan negeri tetapi mereka tidak boleh menerima aktiviti pengusahasilan dieksploitasi secara rakus sehingga hampir 28 peratus keluasan hutan simpanan kekal (HSK) dizonkan untuk tujuan pelaksanaan ladang hutan (ladang monokultur). Itu tidak termasuk aktiviti perlombongan dan pengkuarian dalam kawasan HSK yang memusnahkan litupan asal (hutan asli).

Pemusnahan litupan hutan asal memberi impak terhadap hidrologi hutan apabila permukaan tanah terdedah kepada kadar curahan hujan yang tinggi serta menyebabkan fungsi kepelbagaian hayat hutan terjejas.

Permukaan tanah yang terdedah kepada kadar curahan hujan yang tinggi akan menyebabkan lebihan air larian permukaan, hakisan lereng bukit, kerosakan struktur sungai dan kemerosotan kualiti air.

Hutan asli adalah aset yang sangat penting kerana salah satu fungsi dirian pokok dan tumbuhan ialah mampu menadah curahan hujan manakala reputan di lantai hutan melindungi tanah daripada impak secara terus curahan hujan.

Di samping itu, apabila hutan dimusnahkan, proses penyejatan meningkat dan paras wap air juga biasanya lebih tinggi.

Geofizikal dan topografi juga mempunyai beberapa banjaran utama yang merupakan sebagai central forest spine (CFS). Kerana itu, Rancangan Fizikal Negara (RFN)  Kawasan Sensitif Alam Sekitar (KSAS) perlu dipelihara.

Kadar taburan hujan tinggi tidak boleh dijadikan faktor utama yang menyumbang kepada bencana banjir tetapi aktiviti manusia yang tidak terkawal seperti pembalakan, pengubahan guna tanah hutan kepada lain-lain guna tanah dan kerja-kerja tanah berskala besar boleh juga mempengaruhi bencana lebih buruk.

Saya berharap kerajaan negeri dan pihak berkuasa dapat mempertimbangkan untuk menghenti dan tidak meluluskan apa sahaja aktiviti berisiko impak di KSAS terutama dalam kawasan HSK selain mematuhi dan mengguna pakai rancangan pemajuan terutama RFN dan lain-lain dasar berkaitan di samping menguatkuasakan peruntukan undang-undang sedia ada.

MEOR RAZAK  MEOR ABDUL RAHMAN, Aktivis alam sekitar

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN