Malaysia perlu formula penyatuan bangsa - Utusan Malaysia

Malaysia perlu formula penyatuan bangsa

PERPADUAN adalah asas kepada pembinaan negara bangsa di Malaysia. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MALAYSIA amat memerlukan konsep ideologi dan formula penyatuan rakyat sebagai panduan ke arah pembinaan sebuah negara bangsa yang kukuh.

Konsep dan formula penyatuan warga itu juga diperlukan supaya generasi selepas merdeka mempunyai aspirasi yang serupa dan sentiasa megah untuk mengibarkan Jalur Gemilang pada setiap masa.

Perpaduan merupakan asas kepada pembinaan negara bangsa dan harus dipupuk dalam kalangan masyarakat berbilang etnik di Malaysia.

Sekiranya kepelbagaian etnik menjadi punca percanggahan, suasana damai yang diimpikan dilihat sukar untuk dikekalkan.

Pergeseran antara etnik serta pemahaman tentang hak kesaksamaan harus dilihat secara realistik iaitu perlu diteliti daripada sejarah awal penubuhan sesuatu Perlembagaan atau kontrak tersebut yang kita kenali sebagai kontrak sosial.

Kontrak sosial adalah konsensus bersama antara etnik di Tanah Melayu untuk saling menerima, memahami, menghormati dan bertolak ansur mengenai status quo masing-masing.

Asas permulaan pembinaan perpaduan di Tanah Melayu sebelum kemerdekaan negara adalah melalui persetujuan bersama quid pro quo (menawarkan pulangan tertentu kepada kedua-dua belah pihak) dalam kalangan pemimpin Melayu dan bukan Melayu.

Ideologi atau doktrin negara yang bernama Rukun Negara turut digubal dan dilaksanakan selepas berlaku peristiwa rusuhan etnik pada 13 Mei 1969.

Peristiwa tersebut telah mendorong pemimpin negara daripada pelbagai kaum memikirkan cara untuk memulihkan perpaduan antara etnik supaya menjadi lebih utuh.

Perpaduan nasional yang terhasil daripada pembentukan negara bangsa dan doktrin Rukun Negara itu selain semangat Keluarga Malaysia nyata berjaya menjadi satu matlamat utama dalam usaha membentuk negara yang teguh, bersatu padu, utuh dan selamat dalam jangka masa panjang.

Dalam pada itu, Malaysia mempunyai proses dan acuannya tersendiri untuk merangka perpaduan dan integrasi iaitu menerusi amalan demokrasi permuafakatan yang bertanggungjawab membentuk corak hubungan etnik di Malaysia.

Begitu juga dengan Rukun Negara, sekiranya kita membudayakan kelima-lima prinsipnya iaitu kepercayaan kepada Tuhan, kesetiaan kepada raja dan negara, keluhuran Perlembagaan, kedaulatan undang-undang serta kesopanan dan kesusilaan, pasti perwatakan nasional akan berjaya terbentuk dalam kalangan semua warganegara.

Sehubungan itu, Rukun Negara perlu dimanfaatkan untuk membentuk perpaduan nasional.

Sebagai generasi selepas merdeka, kita sendiri amat yakin bahawa Rukun Negara akan berjaya mencapai matlamat mewujudkan perpaduan jika ia diterima dan diamalkan oleh seluruh rakyat.

Sebab itu, teras kepada konsep Keluarga Malaysia adalah pemupukan perpaduan rakyat Malaysia supaya mereka sentiasa berpegang teguh dan menjunjung tinggi seluruh prinsip asas pembinaan negara bangsa seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan Rukun Negara.

Oleh sebab itu, seluruh generasi selepas merdeka harus memahami secara terperinci mengenai prinsip-prinsip pembinaan negara bangsa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan, Rukun Negara dan Keluarga Malaysia.

KU HASNAN KU HALIM, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya