Hapuskan kuasa veto PBB? - Utusan Malaysia

Hapuskan kuasa veto PBB?

PENGGUNAAN kuasa veto oleh anggota tetap PBB dianggap sebagai ketinggalan zaman, tidak adil dan tidak demokratik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KUASA veto merupakan antara isu utama yang sentiasa mencetuskan polemik hangat berterusan sejak awal penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sehingga kini.

Ini kerana ia dilihat sebagai penghambat yang menghalang Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak menangani isu-isu antarabangsa yang mendesak sekali gus memberi kesan besar terhadap institusi itu secara keseluruhan.

Artikel 27 Piagam PBB menyatakan, keputusan Majlis Keselamatan mengenai semua perkara substantif memerlukan undian afirmatif tiga perlima (iaitu sembilan) anggota. Ini termasuk undi setuju daripada lima anggota tetap (P5) iaitu Amerika Syarikat, United Kingdom, Perancis, China dan Rusia. Namun, undian berkecuali oleh anggota tetap tidak menghalang resolusi daripada diluluskan.

Namun, bukanlah suatu langkah mudah untuk menghapuskan sistem kuasa veto dalam Majlis Keselamatan atas faktor penentangan oleh kuasa-kuasa besar.

Oleh itu, langkah relevan ialah melalui kempen dengan mengecualikan aturan terkandung dalam Bab VII Piagam PBB yang memperuntukkan tindakan berhubung ancaman terhadap keamanan, pelanggaran keamanan dan tindakan pencerobohan termasuklah berkaitan pelanggaran hak asasi manusia.

Dengan kata lain, kuasa veto tidak terpakai dalam kes-kes tersebut. Langkah ini bukanlah baharu memandangkan ia juga pernah diusulkan oleh gerakan reformasi Majlis Keselamatan yang digelar Uniting for Consensus (UFC) pada 2005 dan kelompok negara dikenali sebagai Small Five Group (S-5).

Pada 2013, Presiden Perancis, Francoise Hollande mengusulkan code of conduct yang mana lima anggota tetap Majlis Keselamatan sebagai pemegang kuasa veto secara sukarela dan kolektif komited untuk menahan diri daripada menggunakan kuasa veto dalam genosid, jenayah terhadap kemanusiaan dan jenayah perang.

Sebelum ini, Mexico dan Perancis mencadangkan untuk menyekat penggunaan kuasa veto dalam kes kekejaman besar-besaran telah menarik sokongan 105 negara setakat 2020 termasuklah Malaysia.

Melalui usul ini, sebarang penentangan terhadap draf resolusi berhubung penyelesaian terhadap kes-kes mencakupi skop perbahasan Bab VII Piagam PBB dianggap tidak sah kerana berlakunya pengecualian terhadap kes-kes tersebut.

Hal ini tidak mustahil untuk direalisasikan ketika tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) campur tangan atas nama kemanusiaan di Kosovo pada 1999.

Pertubuhan serantau tersebut melaksanakan campur tangan tanpa melalui kelulusan Majlis Keselamatan yang didakwa mengalami deadlock (kelumpuhan) dalam mengeluarkan mandat untuk tindakan ketenteraan akibat kuasa veto China dan Rusia.

Peristiwa tersebut secara tidak langsung memberi bayangan bahawa Majlis Keselamatan mungkin tidak bersedia untuk memberi mandat berhubung tindakan ketenteraan terhadap kekejaman besar-besaran yang berlaku, maka pengecualian veto terhadap situasi tersebut seolah-olah terpakai.

Ia secara tidak langsung membangunkan mekanisme baharu tindakan kolektif alternatif melalui pertubuhan serantau yang mencerminkan suatu langkah ke arah perubahan dalam undang-undang antarabangsa.

MUHAMMAD FAHMI MD. RAMZAN, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya