MANCHESTER: Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menegaskan pasukannya perlu segera bangkit apabila melayan kunjungan Brentford hari ini bagi memastikan peluang mempertahankan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) terus terbuka.
Menurut Guardiola, kemenangan di laman sendiri amat penting untuk memberi tekanan semula kepada pendahulu liga, Arsenal yang kini mendahului lima mata dengan baki tiga perlawanan musim ini.
City sebelum ini tercicir mata selepas seri dramatik 3-3 menentang Everton Isnin lalu sekali gus menyaksikan nasib perebutan gelaran kini memihak kepada Arsenal.
“Kami perlu memberi tekanan kepada Arsenal dengan memenangi setiap perlawanan yang ada. Itu sahaja yang mampu kami lakukan ketika ini,” katanya dalam sidang akhbar pra-perlawanan semalam.
Dalam aksi di Hill Dickinson Stadium itu, City hampir menerima kekalahan sebelum pemain sayap Belgium, Jeremy Doku muncul wira apabila meledak gol penyamaan pada penghujung permainan.
Doku turut menjaringkan dua gol dalam perlawanan tersebut sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan jaringannya kepada tujuh gol musim ini, pencapaian terbaiknya bersama City.
Guardiola mengakui gembira dengan perkembangan pemain berusia 22 tahun itu yang dilihat semakin matang dalam permainannya.
“Saya sangat gembira dengan prestasinya. Bukan sahaja menjaringkan gol dan mencipta bantuan jaringan, malah dia juga banyak membantu dari aspek pertahanan. Jeremy menunjukkan peningkatan besar musim ini,” katanya.
Sementara itu, Guardiola berharap tonggak tengah, Rodri dapat kembali beraksi menentang Brentford selepas pulih daripada kecederaan.
Dua pertahanan utama, Ruben Dias dan Josko Gvardiol juga dilaporkan semakin hampir mencapai tahap kecergasan penuh. – AFP










