SAUDARA PENGARANG,
POLA politik mengecam atau melabelkan dengan bermacam-macam gelaran seperti kafir terhadap segelintir rakyat beragama Islam semakin berkembang dan cuba dipasak kuat ke dalam pemikiran orang Melayu selepas mendapati mereka memilih jalan yang tidak sama fikkrah dan bertentangan dengan pegangan politik seseorang.
Begitu juga dengan beberapa golongan yang mendakwa diri mereka sebagai kepimpinan ulama dilihat semakin menumpulkan ketajaman intelek melalui pegangan serta kepercayaan politik sempit yang cuba berselindung di sebalik laungan penyatuan Melayu dan perpaduan ummah.
Hal sedemikian didapati bertentangan dengan apa yang dibawakan oleh Rasulullah SAW menerusi sabdanya bermaksud: “Aku diutus untuk membawa agama tauhid yang ramah.”
Mengapakah umat Islam atau pemimpin yang terbabit dalam dunia politik tidak mahu mengambil ibrah daripada secebis kisah Nabi Musa a.s. dan Firaun bahawa bukanlah kekuasaan itu yang akan menjamin kemenangan Islam kerana di akhir zaman, kekuatan serta keteguhan prinsip menjadi asbab datangnya pertolongan Allah SWT.
Maka, daripada tindak tanduk kepimpinan hari ini dilihat tidak lagi seperti dahulu yang lebih tertutup atau mungkinkah mereka sudah terperangkap dalam lingkaran pembohongan?
Jadi, rakyat di luar sana ingin bertanya, apa sudah jadi dengan potensi kepimpinan sekarang, adakah masih ‘mabuk’ dengan kuasa?
CUCU TOK JANGGUT, Bayan Mutiara, Pulau Pinang