Bekalan beras Sabah kembali stabil - Jamawi

Bekalan beras Sabah kembali stabil – Jamawi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA KINABALU: Bekalan beras di Sabah kini kembali stabil dengan tiada lagi laporan kedai kehabisan stok hasil pemantauan rapi serta peningkatan pengeluaran oleh pihak berkaitan.

Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, pihaknya memastikan stok penimbal beras sentiasa mencukupi sehingga tempoh enam bulan sebagai langkah menghadapi sebarang kemungkinan krisis bekalan.

Menurutnya, stok berkenaan bukan bermaksud akan habis secara sekaligus dalam tempoh itu, sebaliknya bekalan sentiasa ada secara berperingkat.

“Sekiranya berlaku gangguan bekalan seperti negara pengeksport tidak menghantar beras, kita masih mempunyai tempoh untuk mencari sumber alternatif tanpa menjejaskan bekalan kepada rakyat,” katanya selepas sesi bersama pengamal media di sini, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata hasil pemantauan di kilang Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) serta peringkat pemborong mendapati situasi bekalan kini semakin baik.

“Setakat ini bekalan adalah baik. Saya sendiri memantau di kilang dan pemborong selain mengadakan libat urus sebanyak empat hingga lima kali. Laporan terkini menunjukkan keadaan sudah stabil dan tiada lagi kedai kosong,” katanya.

Bagaimanapun, beliau mendedahkan terdapat pemborong yang gagal mengambil stok walaupun telah membuat bayaran sekali gus menjejaskan agihan beras ke pasaran.

Katanya, laporan minggu lalu menunjukkan kira-kira 3,000 tan beras telah dibayar namun tidak diambil oleh pemborong.

“Keadaan itu memberi kesan kepada pengedaran walaupun stok mencukupi. Pelbagai alasan diberikan termasuk kos diesel meningkat dan kekurangan pemandu, namun tindakan tegas akan diambil,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menegaskan pihak kawal selia diarahkan mengambil tindakan terhadap pemborong yang didapati menyimpan beras tanpa mengedarkannya, termasuk hukuman denda minimum RM50,000 serta penjara.

Dalam perkembangan sama, Jamawi berkata pengeluaran beras turut ditingkatkan bagi memastikan bekalan terus mencukupi.

“Biasanya pengeluaran sekitar 20,000 tan metrik sebulan pada awal tahun, namun bagi bulan ini saya arahkan supaya ditingkatkan kepada 35,000 tan metrik,” katanya.

Tambah beliau, audit terhadap pemborong sedang dilaksanakan dan laporan dijangka diperoleh dalam masa terdekat bagi mengenal pasti pihak yang terlibat dalam kegiatan menyimpan stok.

Beliau turut menasihatkan pengguna supaya tidak melakukan pembelian panik yang boleh menjejaskan kestabilan pasaran.

“Pengguna tidak perlu membeli beras secara berlebihan kerana ia juga boleh rosak jika disimpan terlalu lama. Belilah mengikut keperluan semasa,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN