1 warga Malaysia antara 8 maut nahas helikopter - Utusan Malaysia

1 warga Malaysia antara 8 maut nahas helikopter

LAPAN orang terbunuh apabila sebuah helikopter terhempas di Kalimantan. - BASARNAS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JAKARTA: Dua kru dan enam penumpang terbunuh apabila sebuah helikopter persendirian terhempas di kawasan hutan tebal di pulau Borneo, Indonesia, menurut kementerian pengangkutan pada Jumaat.

Helikopter jenis Airbus helikopter milik syarikat tempatan Matthew Air Nusantara itu terputus hubungan dengan kawalan trafik udara kira-kira lima minit selepas berlepas di wilayah Kalimantan Barat pada pagi Khamis.

Menurut Ketua Pengarah Penerbangan Awam, Lukman F. Laisa dalam satu kenyataan, kesemua lapan individu di dalam pesawat itu adalah lelaki dan seorang daripadanya merupakan warga Malaysia.

“Pasukan mencari dan menyelamat bersama telah berjaya mengesan lokasi nahas pesawat dan berdasarkan maklumat di lapangan, semua penumpang serta kru disahkan terkorban,” katanya.

Pasukan penyelamat menemui mangsa nahas pada petang Khamis di kawasan hutan tebal dengan cerun curam, kata ketua agensi mencari dan menyelamat I Made Junetra kepada AFP pada Jumaat.

Mayat-mayat mangsa sedang diterbangkan ke ibu wilayah, Pontianak, tambah beliau.

Indonesia, sebuah kepulauan luas di Asia Tenggara, sangat bergantung kepada pengangkutan udara untuk menghubungkan ribuan pulaunya.

Negara itu mempunyai rekod keselamatan penerbangan yang lemah, dengan beberapa kemalangan maut berlaku dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Sebuah pesawat turboprop yang disewa oleh kementerian perikanan terhempas di sebuah gunung di pulau Sulawesi pada Januari, mengorbankan kesemua 10 orang di dalamnya.

Pada September tahun lalu, sebuah helikopter membawa enam penumpang dan dua kru terhempas di wilayah Kalimantan Selatan, mengorbankan semua orang yang berada di dalamnya.

Empat orang terbunuh kurang dua minggu kemudian apabila sebuah lagi helikopter terhempas di daerah terpencil Ilaga, Papua. – AFP

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN