TAMPIN: Anak jati Tampin yang mencipta nama di peringkat antarabangsa, Datuk Chandran Rama Muthy, berpeluang menghadap Tunku Syed Razman ibni Almarhum Tunku Syed Idrus Al-Qadri dalam suasana penuh mesra di Balai Kediaman Rasmi Tunku Besar Tampin.
Tunku Syed Razman bertitah, kehadiran Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengasas Batik Air Malaysia itu amat bermakna kerana membuktikan anak tempatan mampu menempa kejayaan sehingga ke peringkat global, termasuk dalam industri penerbangan.
Baginda turut menzahirkan rasa bangga terhadap pencapaian tersebut dan berharap lebih ramai anak Tampin yang berjaya tampil berkongsi pengalaman serta kepakaran masing-masing sebagai inspirasi kepada generasi muda.
“Perkongsian kejayaan ini diharap dapat menyuntik semangat kepada anak-anak muda dan pelajar untuk terus berusaha gigih dalam mencapai cita-cita dan masa depan yang lebih cemerlang,” titah baginda.
Majlis menghadap itu turut dihadiri beberapa tokoh lain termasuk bekas Pengurus Kanan Keselamatan Operasi PETRONAS di Iraq, Zaharudin Abd. Hamid dan isterinya, Ruhaidini Abd. Kadir yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Keluarga Malaysia.
Turut hadir Pegawai Bahagian Penterjemahan dan Bimbingan di Masjid al-Haram, Sheikh Haji Muhammad Jamil Mujahed; Pengasas dan Pengarah Urusan Teraju Construction Sdn. Bhd., Fakhrul Nazhi Hanaffi serta Pengasas Emreka Group Sdn. Bhd., Mohd. Kasarudin Suudi.
Dalam pada itu, Tunku Syed Razman turut menyeru anak-anak Tampin yang berjaya dalam sektor kerajaan dan swasta agar kembali menyumbang kepada pembangunan daerah ini supaya terus maju seiring dengan bandar lain di dalam dan luar negara.
Sementara itu, Chandran, 46, berkata, beliau tidak melupakan pengalaman membesar di Tampin yang banyak membentuk jati diri dan ketahanan dalam menghadapi pelbagai cabaran, termasuk situasi konflik di Timur Tengah.
Katanya, pengalaman tersebut menuntut kekuatan mental dan keupayaan untuk merancang semula strategi perniagaan agar kekal berdaya tahan dalam persekitaran mencabar. – UTUSAN










