SAUDARA PENGARANG,
SEBUT sahaja Dungun, Terengganu tempat tumpuan utama ialah Pulau Tenggol kerana ramai menganggapnya sebagai yang tercantik di Semenanjung. Malah, ada yang menggelarnya ‘Mini Sipadan’ iaitu kedua tercantik selepas Sipadan, Sabah.
Di Dungun juga, aktiviti nelayan menangkap ikan merupakan antara sumber pendapatan utama penduduk selain terdapat juga nelayan dari luar yang menangkap ikan, singgah dan berlabuh di perairan berkenaan.
Berdasarkan keadaan itu, industri keropok kering dan keropok lekor menjadi sumber utama pendapatan penduduk.
Namun, apa yang menyedihkan setelah sekian lama tiada jeti yang sempurna di sana sama ada untuk nelayan mahupun pelancong serta pengusaha chalet.
Jika pelancong datang, perkara utama yang ditanya ‘mana jeti pelancong?, mana jeti nelayan?’.
Tidak hairanlah, sejak sekian lama nelayan, pengusaha chalet dan pelancong merungut berhubung perkara ini. Sehingga kini, pengusaha bot, chalet dan pelancong terpaksa menggunakan jeti swasta sedia ada.
Terdengar khabar anging mengatakan jeti swasta sedia ada untuk pelancong sebenarnya tidak mendapat sijil kelayakan menduduki (CF) dari pihak berkuasa, namun ia masih terus beroperasi. Seolah-olah pihak berkuasa menutup sebelah mata. Benarkah?
Dalam hal ini, kerajaan negeri melalui Excodan pihak berkuasa tempatan (PBT) harus memberi penjelasan kepada penduduk, nelayan dan pelancong mengenai jeti yang diimpikan ramai selama ini.
Turut menimbulkan persoalan kepada pelancong yang datang, mereka yang meletakkan kenderaan di jeti swasta perlu menghulurkan bayaran parkir tanpa sebarang resit. Kutipan parkir juga dilakukan oleh warga asing. Timbul pula persoalan tentang harga parkir yang tidak munasabah mendapat kebenaran pihak berkuasa.
Wujud juga pertanyaan, adakah pembinaan jeti swasta itu mengikut pelan serta mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan?
Menjadi harapan ramai, isu jeti ini tidak berkaitan dengan penyelewengan, atau penyalahgunaan kuasa. Harap-harap begitulah.
Namun, sudah tiba masanya Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) mrmbuka fail berhubungan isu ini, termasuk kutipan parkir bagi memperlihatkan integriti serta ketelusan dalam memastikan tidak berlaku rasuah atau penyalahgunaan kuasa.
Pihak Polis Diraja Malaysia (SPRM) perlu menyiasat mengenai kutipan parkir agar ia mematuhi undang-undang.
Akhir sekali, sebagai nelayan tempatan, saya memohon agar golongan nelayan mendapat jeti tetap serta sempurna yang kelak memberi kemudahan sama kepada pelancong seperti di Kuala Besut, Marang dan beberapa kawasan lain.
NELAYAN SEJATI, Kuala Dungun. Terengganu