Hati-hati, manifesto tiada ikatan undang-undang - Utusan Malaysia

Hati-hati, manifesto tiada ikatan undang-undang

PENGERUSI Pakatan Harapan Melaka, Adly Zahari menunjukkan dokumen Pelan Tindakan Maju Bersama Harapan pada 10 November lalu. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PARA pengundi perlu lebih berhati-hati dengan segala janji manis yang dikeluarkan oleh mana-mana ahli politik atau parti melalui manifesto pilihan raya.

Ini kerana segala janji dalam manifesto belum tentu dapat dipenuhi selepas calon menang kerana statusnya yang tidak terikat dengan kuasa undang-undang.

Pada 2013, Mahkamah Rayuan memutuskan manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah sekali gus membatalkan saman sivil yang difailkan oleh 2,020 ibu tunggal di Selangor berhubung pembayaran elaun RM100 kepada mereka seperti terkandung dalam manifesto pembangkang pada Pilihan Raya Umum 2008.

Dalam kes terbabit, hakim bersetuju dengan hujahan bahawa manifesto bukan dokumen yang terikat di sisi undang-undang.

Seseorang yang tidak berpuas hati dengan kegagalan memenuhi manifesto pilihan raya tidak boleh menuntut untuk dikuatkuasakan janji-janji tersebut.

Status manifesto yang tidak terikat dengan undang-undang bukan sahaja berlaku di negara kita, malah turut diamalkan di hampir semua negara.

Dengan tiada kuasa undang-undang diikat terhadap manifesto pilihan raya ini, ahli politik atau parti akan mudah melemparkan apa-apa sahaja janji manis ketika berkempen tanpa perlu ada rasa tanggungjawab untuk memenuhinya.

Oleh yang demikian, pengundi tidak boleh memberi sepenuh kepercayaan terhadap segala janji manis yang dilemparkan melalui manifesto.

Pada masa sama, sudah sampai masa kita mengambil langkah baharu bagi memastikan setiap janji dalam manifesto dipandang serius oleh mereka yang membuatnya dan akan dipenuhi tanpa ada sebarang alasan.

Mana-mana ahli atau parti yang membuat janji-janji manis khususnya melalui manifesto perlu bertanggungjawab sepenuhnya.

Bak kata pepatah, kerbau diikat pada tali, manusia diikat pada janjinya. Setiap janji perlu dipenuhi dengan segera tanpa sebarang alasan atau dilengah-lengahkan.

Amat menyedihkan sekiranya janji manis yang terkandung dalam manifesto tidak dipenuhi dan ditepati oleh mana-mana calon atau parti politik setelah mereka menang dan memegang kuasa pemerintahan.

Tindakan melengah-lengahkan atau tidak menepati janji dalam manifesto menunjukkan dengan jelas sikap tidak hormat terhadap pengundi yang telah memberi kepercayaan kepada calon dan parti politik.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pula disaran mengambil langkah proaktif dalam mengatasi isu ini.

SPR perlu mewujudkan sebuah jawatankuasa khas bagi mengkaji isu manifesto pilihan raya ini untuk diberikan satu kuasa undang-undang terhadapnya.

Pindaan boleh dilakukan melalui sebarang akta sedia ada berkaitan proses pilihan raya dalam negara kita seperti Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 bagi menyelesaikan perkara ini demi melindungi hak dan kepentingan pengundi.

PROF. MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya