Ada ubat pesakit kanser mati pucuk - Utusan Malaysia

Ada ubat pesakit kanser mati pucuk

Pesakit kanser tidak perlu menyisihkan diri sebaliknya mendapatkan jaringan komunikasi yang mapan dalam mencari penyelesaian. – GAMBAR HIASAN/UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

MALAYSIA mula menyambut Bulan Kesedaran Kesihatan Lelaki Sedunia atau Movember sejak 2016 bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kesihatan, kesejahteraan dan kebajikan kaum lelaki serta meraikan peranan positif dalam kalangan masyarakat.

Menurut kajian Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya, kanser dan rawatannya memberi impak yang mendalam terhadap kesihatan seksual.

Rata-rata pesakit di bawah kajian ini mengaitkan kekurangan aktiviti seksual sebagai kesan sampingan daripada rawatan kanser.

Selain itu, tekanan emosi berikutan diagnosis dan rawatan juga menyumbang kepada kemerosotan hubungan seksual bersama pasangan.

Terdapat beberapa faktor yang menentukan sama ada seseorang lelaki yang sedang menerima rawatan berdepan masalah kesihatan seksual.

Faktor-faktor tersebut adalah jenis kanser, dos rawatan, tempoh rawatan, umur, tempoh setelah rawatan berakhir dan masalah kesihatan lain seperti sakit jantung, darah tinggi, kencing manis dan merokok.

Kebanyakan masalah kesihatan seksual bersifat sementara dan akan beransur pulih selepas rawatan berakhir.

Contohnya, ketika dalam tempoh kemoterapi boleh menurunkan kadar hormon testosteron dan keinginan seksual seseorang buat sementara waktu.

Namun, terdapat juga rawatan yang memberi kesan jangka masa panjang pada kesihatan seksual lelaki.

Radioterapi bim luaran di bahagian pelvis atau brakiterapi (radioterapi bim dalaman) juga boleh memberi kesan kepada fungsi seksual lelaki.

Sekiranya saluran darah atau saraf cedera, ia boleh menyebabkan kesukaran untuk memulakan atau mengekalkan ketegangan zakar (ereksi) yang dipanggil sebagai mati pucuk atau erektil disfungsi.

Pembedahan juga berkemungkinan menyebabkan kecederaan kepada saraf. Selain itu, terapi hormon juga boleh mengurangkan paras hormon testosteron dan keinginan seksual serta kesukaran memulakan atau mengekalkan ereksi.

Namun, terdapat ubat dan pembedahan yang boleh ditawarkan kepada pesakit bagi mengatasi masalah seksual sekiranya diperlukan.

Ini termasuklah ubat yang mampu meningkatkan pengedaran darah ke dalam zakar dan implan zakar yang mampu dibentuk ataupun dikembung bagi mencapai dan mengekalkan ereksi.

Oleh itu, amat penting bagi pesakit untuk berunding dengan pakar perubatan supaya lebih maklum dengan pilihan rawatan. Pesakit juga digalakkan berunding tentang kesan sampingan.

Tidak dilupakan juga, penjagaan aspek emosi perlu diberi perhatian semasa menjalani rawatan.

Di samping berkongsi perasaan atau kegusaran bersama yang tersayang, pesakit juga disaran menyertai kumpulan sokongan atau forum dalam talian bagi pesakit kanser agar tidak rasa terpinggir semasa menjalani rawatan.

Secara amnya, pesakit kanser memang berhak untuk mengetahui dengan lebih lanjut tentang kesan sampingan rawatan kanser yang berkait rapat dengan kesihatan seksual mereka.

NOR AIN AQILAH HISHAM, MUHAMMAD AISAR AZNAL & PROF. MADYA DR. NIRMALA BHOO-PATHY, Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.