WASHINGTON: Amerika Syarikat (AS) merampas kira-kira AS$1 bilion (RM3.96 bilion) aset mata wang kripto milik Iran dan sedang bekerjasama dengan sekutu Eropah untuk menyita pelbagai aset hartanah yang dikaitkan dengan Teheran.
Setiausaha Perbendaharaan AS, Scott Bessent, berkata tindakan itu termasuk ‘merampas dompet digital secara terus’, dalam usaha membanteras aliran kewangan yang dikaitkan dengan Iran.
Beliau turut mendakwa sebahagian pemilik akaun mungkin masih belum menyedari aset mereka dibekukan atau disita, dengan menyatakan mereka ‘mungkin sedang menaip sekarang tanpa sedar bahawa dompet mereka dirampas’.
Menurut Bessent, Washington kini memperluas operasi bersama sekutu Eropah bagi mengenal pasti dan menyita aset fizikal di luar negara.
“Kami bekerjasama dengan sekutu di seluruh Eropah untuk merampas vila, rumah dan hartanah,” katanya, sambil menyifatkan langkah itu sebagai usaha memulihkan dana yang didakwa diperoleh secara tidak sah.
“Ini adalah wang yang dicuri daripada rakyat Iran,” dakwanya.
Ketua Perbendaharaan AS itu turut berkata, kemudahan eksport minyak Iran di Pulau Kharg kini ‘ditutup secara efektif’, dengan menyalahkan sekatan laut oleh tentera laut AS sebagai punca utama gangguan tersebut.
Beliau menambah, serangan Iran baru-baru ini terhadap negara-negara Teluk memberi kesan sebaliknya dari segi diplomatik, apabila sekutu di rantau itu kini menjadi ‘rakan kerjasama yang sangat baik’ dalam usaha penguatkuasaan kewangan terhadap Teheran.
Menurutnya, kerjasama itu membolehkan AS membekukan akaun bank milik Iran di beberapa negara Teluk.- ANADOLU










