TAPAH: Rakaman kamera pengawasan hidupan liar Perhilitan berjaya mengesan imej pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang hilang di Gunung Batu Putih di sini sejak Sabtu minggu lalu.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, dua anggota Team Pelindung (Perhilitan) bersama dua pegawai Jabatan Perhutanan telah dibawa menaiki pesawat AW139 ke Puncak Gunung Batu Putih untuk mengambil cip (kad sd) kamera pengawasan hidupan liar di sekitar Gunung Batu Putih.
“Dua cip dari dua unit kamera pengawasan itu telah berjaya diambil pada pukul 10.15 pagi. Team Pelindung (Perhilitan) telah kembali dibawa turun menggunakan pesawat AW139 pada pukul 1.15 petang.
“Hasil penelitian kandungan chip tersebut mendapati terdapat rakaman imej mangsa (Jaslinda) telah melintasi Kamera 1 pada pukul 11.22 pagi bertarikh 24 Mei 2026.
“Terdapat juga rakaman imej lapan anggota STORM dan seorang MGP (malim gunung) melintasi Kamera 1 pada pukul 5.15 petang pada 25 Mei 2026,” katanya di sini hari ini.
Katanya lagi, tiada sebarang imej mangsa berpatah balik melintasi Kamera 1 tersebut.
“Bagi Kamera 2 tiada sebarang rakaman imej mangsa atau pasukan penyelamat melintasi Kamera 2 yang menuju Gunung Batu Bujang pada 24 dan 25 Mei 2026.
“Sehubungan dengan itu laluan ini disahkan tidak dilalui oleh mangsa,” katanya.
Tambah beliau, terdapat dua simpang jalan selepas Kamera 1 iaitu laluan ke Kem Sukaneka, laluan ke titik air (water point).
“Laluan ke titik air telah dihalang dengan laluan kayu bagi menandakan ianya bukan trek laluan.
“Rakaman Kamera 1 dapat menyokong hujah bahawa mangsa memang bergerak mengikut laluan ke Kem Sukaneka sepertimana penemuan jejak tapak kasut dan botol air yang ditemui oleh pasukan penyelamat dari awal pencarian bermula,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, terdapat seorang anggota bomba telah mengalami kecederaan di paha, lutut dan buku lali setelah menjalankan pencarian bermula semalam melibatkan lokasi bermula Kem Kantoi menuju alur air ke Sungai Ayer Busok, menyusuri sungai itu (satu kilometer) dan mendapati tiada sebarang tanda dimasuki oleh mangsa.
“Perjalananan seterusnya membuat pencarian di sekitar Simpang Ite dan berhenti di Puncak 2085. Pesawat AW139 telah membawa bomba yang cedera bersama tiga penyelamat lain penyelamat lain menggunakan titik pengangkatan udara baharu (winching point).
“Terdapat seramai 42 anggota penyelamat yang masih bergerak di dalam lokasi dan masih menjalankan operasi termasuk pasukan yang bergerak dari Pos Musoh (laluan darat),” katanya. – UTUSAN










