fbpx

Ujian manusia tidak akan berhenti

KITA perlu sentiasa berdoa memohon pertolongan daripada Allah SWT.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SETIAP manusia pasti mengalami kesukaran dalam urusan sehari-hari, namun apa yang membezakan mereka adalah cara seseorang menghadapinya.

Akhbar tempatan tidak pernah gagal melaporkan bencana, kesusahan, kematian dan kemalangan di sana sini di dalam mahupun luar negara.

Ada yang bertindak kejam menikam diri sendiri kerana perasaan tertekan dengan masalah dihadapi.

Bagaimanapun, terdapat ramai insan yang menghadapi masalah sama tetapi mengambil langkah positif dan proaktif untuk menyelesaikannya.

Mereka berjaya bangkit daripada tekanan, kekecewaan serta kesedihan dan dapat terus hidup dengan gembira.

Ketenangan Rasulullah SAW walaupun dalam keadaan nyawa di hujung tanduk seharusnya menjadi inspirasi umat Islam ketika dilanda kesedihan, kerisauan dan kesukaran.

“Jangan bersedih, Allah bersama kita,” itulah kata-kata baginda kepada sahabat baik, Saidina Abu Bakar ketika berlindung di sebuah gua kerana dikejar oleh kafir Quraisy yang ingin membunuhnya.

Ingatlah, hidup di dunia ini penuh dengan ujian dan cabaran tanpa titik noktah. Semua insan diuji termasuk para nabi dan rasul.

Oleh itu, hati perlu kuat dalam menghadapi apa sahaja situasi. Allah SWT tidak menjanjikan kehidupan aman tanpa ujian tetapi menjanjikan bantuan penuh kasih sayang di sebalik setiap ujian.

Bagaimanapun, bantuan tidak akan sampai kepada kita tanpa permohonan dan permintaan agar ditolong.

Contohnya, bantuan Covid-19 dan bantuan bencana, semua orang perlu isi borang permohonan untuk mendapatkannya.

Oleh itu, untuk memohon bantuan daripada Allah SWT, kita hendaklah bersolat dan berdoa kepada-Nya dengan penuh kesabaran.

Ia perlu disusuli dengan usaha gigih dan ikhtiar berterusan. Kita juga hendaklah sentiasa berzikir dan bertindak mengawal hati agar kekal tenang dan baik.

Hati yang kuat itu mampu bertahan, tabah dan sabar serta kekal menang dalam menghadapi segala ujian.

DR. AIZAN ALI @ MAT ZIN, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya.

POPULAR

KOSMO! TERKINI