Tiada duit sukar capai tahap pro - Utusan Malaysia

Tiada duit sukar capai tahap pro

PASUKAN JDT mampu menjadi juara Piala Super sebanyak lapan kali kerana mempunyai dana kukuh bagi membeli pemain terbaik. – UTUSAN/ RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

LIGA Malaysia rasanya belum mencapai tahap profesional kerana rata-rata pasukan bola sepak yang mewakili kelab atau atas nama negeri kebanyakannya tidak mempunyai dana kukuh.

Kebanyakannya hanya mengharapkan belas ihsan kerajaan negeri atau sumbangan daripada syarikat tertentu. Dana yang diperoleh tidak sebanyak yang didapati kelab-kelab bola sepak luar negara.

Mengharapkan sumber kewangan dalaman pasukan bola sepak itu sendiri selalunya cukup-cukup makan sahaja dan ada yang kekeringan dana sebelum tamat musim kejohanan.

Apabila pasukan bola sepak tidak lagi mampu membayar gaji dengan sempurna, maka berlaku krisis dalaman kerana saya percaya pemain melakukan sabotaj secara senyap supaya pasukan kalah setiap kali perlawanan.

Kemelut sebegini perlu diatasi segera kerana ia sering berlaku setiap kali Liga Super, Liga Perdana, Liga Malaysia atau Piala FA.

Oleh itu, pasukan bola sepak mesti ada kewangan kukuh sekurang-kurangnya RM15 juta bagi setiap musim kejohanan.

Perlu juga memiliki hartanah seperti stadium sendiri kerana ia adalah suatu bentuk pelaburan yang boleh menghasilkan pendapatan.

Lihat pasukan Johor Darul Ta’zim (JDT) yang mengungguli lapan kali Piala Super. Ini kerana mereka mempunyai dana kukuh untuk membayar gaji pemain import bernilai jutaan ringgit.

Malah pemain handal dari pasukan lain dengan mudah ditawarkan ganjaran kewangan untuk menyertai JDT. Ketidakseimbangan kewangan antara pasukan yang begitu ketara sepatutnya dihentikan.

Bagaimanapun pada saya, JDT hanya juara kampung kerana apabila bertanding di peringkat antarabangsa, pasukan bola sepak itu selalunya tidak ke mana perginya.

Saya juga berharap stesen televisyen swasta membayar hak siaran liputan siaran langsung perlawanan pada harga berpatutan sekurang-kurangnya RM1 juta bagi setiap pertandingan untuk membolehkan pasukan bola sepak meraih lebih banyak pendapatan.

Begitu juga harga tiket perlawanan hendaklah dinaikkan dan bukan sekadar RM10 atau RM20 sekeping sahaja.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL, Seremban, Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.