Tak salah tangkap, buang kucing jiran - Utusan Malaysia

Tak salah tangkap, buang kucing jiran

ISLAM membenarkan menangkap dan membuang haiwan peliharaan jiran yang mengganggu kesejahteraan hidup kita. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

JIRAN ditakrifkan sebagai individu atau keluarga yang tinggal berhampiran dengan rumah kita.

Boleh dikatakan setiap individu atau keluarga mempunyai jiran tidak kira sama ada tinggal di kampung, taman perumahan, kondominium atau pangsapuri.

Dapat jiran yang baik ialah rezeki. Namun, mempunyai jiran bermasalah ialah ujian yang perlu kita hadapi.

Pernah tular video tentang jiran yang bergaduh sehingga menimbulkan kekecohan di kawasan perumahan. Tidak dapat dipastikan puncanya. Ada menyatakan kerana berebut tempat letak kenderaan.

Namun, pergaduhan telah berlaku dan video sudah tersebar sehingga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan warga maya.

Pelbagai isu kejiranan bakal mencetuskan pertengkaran jika tidak ditangani dengan bijaksana.

Antaranya meletakkan kenderaan di kawasan jiran sehingga menghalang laluan masuk ke rumah, binatang peliharaan yang membuang najis dan bunyi bising ekzos motosikal.

Isu-isu ini jika tidak ditangani dengan bijaksana boleh mencetuskan tekanan emosi pihak yang menanggungnya.

Serba salah dibuatnya, umpama digenggam takut mati, dilepaskan takut terbang. Silap-silap boleh berbunuhan seperti yang berlaku beberapa bulan lalu di Perak. Puncanya kerana ingin menuntut penjelasan sebab anak ditampar oleh jiran.

Dalam mendepani isu kejiranan, kita perlu mempunyai sifat empati.

Cuba tanya diri sendiri, jika orang lain meletak kenderaan sehingga menghalang laluan, kucing orang lain berak di kawasan rumah dan bunyi bising yang mengganggu sehingga anak kecil terjaga, apa yang kita rasa?

Sudah tentu berasa tidak selesa, malah menyebabkan tekanan emosi sementelahan masalah itu sudah ditanggung dalam tempoh lama tanpa penyelesaian.

Jika hendak membela binatang peliharaan, kurung atau ikatlah. Jangan dibiarkan bebas berak di rumah orang lain. Pemilik perlulah bertanggungjawab menyediakan tempat yang sesuai.

Saya pernah terbaca komen warga maya terhadap isu ini dengan kata-kata, “Apa salahnya cuci atau buang, ganjaran pahala untuk orang yang sabar membersihkan najis kucing itu.”

Memang benar, tetapi tidak semua insan boleh bersabar. Jadi, pemilik binatang peliharaan perlu bertanggungjawab.

Maka demi kesejahteraan, wajarlah pihak yang menanggung sengsara daripada angkara orang lain itu bertindak menangkap dan mengalihkan haiwan tersebut ke tempat lain yang jauh dan sesuai.

Tindakan ini bertepatan dengan pandangan agamawan seperti Mufti Perlis, Datuk Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin dan penceramah bebas, Azhar Idrus.

Maka, jika ada pemilik yang kehilangan binatang peliharaan kerana ditangkap dan dibuang jiran, bersabarlah. Jadikannya sebagai pengajaran.

Selain itu, individu yang menanggung akibat daripada perlakuan jiran wajar melaporkan kepada pihak berkuasa.

Sebagai contoh, jika kenderaan jiran diletakkan di kawasan kita sehingga menghalang laluan, lapor terus kepada pihak berkuasa tempatan (PBT).

Biarlah mereka yang selesaikan walaupun kita yang melaporkannya.

Jangan pula simbah minyak ke dalam api, sebaliknya saling bermaafan itu lebih baik sama ada oleh pihak yang melapor atau pihak yang diambil tindakan.

Begitu juga masalah bunyi bising seperti ekzos motosikal. Ada kemungkinan berlaku kesalahan pengubahsuaian kenderaan, maka laporkan terus kepada polis jika teguran kita tidak berkesan.

Biarlah pihak berkuasa yang melaksanakan tugas mereka.

JIRAN KACAK, Kampar, Perak.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.