Lama sangat kerajaan berjanji - Utusan Malaysia

Lama sangat kerajaan berjanji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA Julai lalu, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan memaklumkan kerajaan memulakan perancangan ke arah memisahkan fungsi Jabatan Peguam Negara dan Pejabat Pendakwa Raya bagi menjamin aspek keadilan dan mengelakkan berlaku percanggahan kepentingan.

Apa yang dilakukan kerajaan Perikatan Nasional (PN) ketika itu adalah meneruskan janji dalam manifesto Pakatan Harapan (PH) ketika Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) supaya jawatan Pendakwa Raya dipegang oleh individu lain yang tiada kaitan dengan Peguam Negara.

Saya berpendapat, langkah ini perlu dilaksanakan dengan segera bagi memantapkan lagi sistem demokrasi dan undang-undang dalam negara kita.

Pada masa sekarang, Peguam Negara dan Pendakwa Raya boleh diibaratkan sebagai entiti sama seperti termaktub di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Perkara 145 (2) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan menjadi kewajipan Peguam Negara menasihati Yang di-Pertuan Agong atau jemaah menteri atau mana-mana menteri mengenai apa-apa perkara undang-undang.

Pada masa sama, Perkara 145 (3) memperuntukkan Peguam Negara hendaklah mempunyai kuasa yang boleh dijalankan menurut budi bicaranya untuk memulakan, menjalankan atau memberhentikan apa-apa prosiding bagi sesuatu kesalahan.

Sebarang undang-undang yang bertentangan yakni memberikan kuasa mendakwa kepada pihak lain selain Peguam Negara adalah tidak sah dan terbatal.

Ini jelas menunjukkan kepada kita kuasa besar yang dimiliki oleh Peguam Negara khususnya dalam proses pendakwaan kes.

Pada 1991, di dalam kes Karpal Singh & Yang Lain lwn. Pendakwa Raya (1991) 1 CLJ Rep 183, pihak Mahkamah Agung telah dirujuk dengan persoalan undang-undang bagi memutuskan sama ada mahkamah mempunyai kuasa am bagi mengawal prosesnya supaya tidak disalahgunakan.

Dalam kes ini, tertuduh telah dituduh di bawah Akta Polis 1967 kerana mengambil bahagian dalam perjumpaan di tempat awam tanpa mendapat kebenaran.

Ketika menjawab persoalan undang-undang itu, mahkamah menekankan budi bicara mutlak Peguam Negara di bawah Perkara 145 (3) sama ada untuk memulakan, meneruskan dakwaan atau sebaliknya, merupakan budi bicara yang tidak boleh dicabar atau diganti oleh budi bicara mahkamah.

Bagaimanapun, saya berpendapat, kedudukan Pejabat Pendakwa Raya yang berada di bawah Jabatan Peguam Negara seperti diamalkan sekarang boleh menyaksikan konflik kepentingan.

Di satu pihak, Peguam Negara sepatutnya bertindak demi kepentingan awam dalam membuat keputusan untuk mendakwa kes-kes jenayah tetapi di pihak lain, beliau juga ialah ketua penasihat undang-undang kepada kerajaan.

Ini akan mewujudkan kon­flik kepentingan khususnya dalam kes-kes membabitkan kakitangan atau pegawai tertinggi kerajaan.

Oleh itu, adalah wajar cadangan untuk memisahkan Pejabat Pendakwa Raya dari Jabatan Peguam Negara dilihat secara serius.

Bagi memastikan cadangan ini dapat dilaksanakan dengan baik dan sempurna, kerajaan boleh membentuk sebuah jawatankuasa khas bagi menilai perkara ini dengan lebih teliti.

Jawatankuasa terbabit perlu dianggotai mereka yang memiliki kepakaran dan pengalaman dalam bidang undang-undang negara kita.

PROFESOR MADYA DR. MUZAFFAR SYAH MALLOW, Fakulti Syariah & Undang-Undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya