fbpx

Jangan naik kos haji

KADAR bayaran menunaikan haji sebanyak RM9,980 seorang tidak pernah berubah sejak 2009. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 23 September lalu, Pengerusi Eksekutif Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd., Datuk Md. Daud Che Ngah mendedahkan kos menunaikan ibadah umrah akan bertambah sekitar RM8,000 hingga RM9,000 bagi pakej paling murah.

Ini susulan beberapa peraturan yang mengambil kira norma baharu dalam pasca Covid-19 oleh kerajaan Arab Saudi.

Saya difahamkan, perkara sama akan melibatkan ibadat haji kerana terdapat cakap-cakap Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) hendak menaikkan kadar bayaran bagi musim haji 2022.

Langkah itu terpaksa dibuat bagi menampung kos penginapan, pengangkutan dan lain-lain yang meningkat berikutan wujud keperluan untuk mematuhi segala prosedur operasi standard (SOP) berkaitan Covid-19 yang diperkenalkan kerajaan Arab Saudi.

Ini termasuk cukai-cukai baharu seperti caj tambahan visa yang akan ditentukan oleh kerajaan negara itu.

Jika ini berlaku, sudah tentu Tabung Haji tiada pilihan melainkan menaikkan kos pakej haji mengikut kenaikan perbelanjaan sebenarnya yang kini boleh meningkat mencecah antara RM25,000 hingga RM30,000 seorang.

Sudah tentu paling terkesan adalah bakal haji yang sudah menerima tawaran menunaikan haji musim sebelum ini tetapi dibatalkan penerbangan disebabkan Covid-19, jika mereka diminta membayar tambahan akibat kenaikan tersebut.

Kos mengerjakan haji pada tahun lalu adalah sebanyak RM22,900 seorang.

Bayaran yang perlu ditanggung jemaah haji adalah RM9,980 dan tidak pernah berubah sejak 2009 manakala baki RM12,920 ditanggung Tabung Haji.

Oleh itu, saya memohon jasa baik Tabung Haji untuk terus memberi subsidi sekurang-kurangnya selama tiga tahun lagi memandangkan rakyat Malaysia amat terkesan dari segi kewangan berikutan pandemik Covid-19 yang melanda negara sejak dua tahun lalu.

Sekiranya Tabung Haji tidak lagi mampu berbuat demikian, diharapkan sekurang-kurangnya dapatlah memberi subsidi kepada golongan warga emas dan kurang mampu.

SYED ABDULLAH SYED OSMAN JAMALULLAIL, Seremban, Negeri Sembilan.

POPULAR

KOSMO! TERKINI