Jangan ‘bunuh’ semangat, motivasi pelajar - Utusan Malaysia

Jangan ‘bunuh’ semangat, motivasi pelajar

KEBANYAKAN pelajar teruja kembali ke sekolah untuk belajar secara bersemuka. – UTUSAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SESI persekolahan secara berperingkat bermula di beberapa negeri selepas lebih enam bulan sesi pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR) diadakan akibat penularan pandemik Covid-19.

Rata-rata pelajar dilihat teruja kembali ke sekolah untuk belajar secara bersemuka mengikut fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) negeri masing-masing, selain mengamalkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Pada Ahad lalu, sesi persekolahan secara bersemuka bermula di Terengganu, Kelantan dan Kedah.

Sehari selepas itu pula, sesi persekolahan secara bersemuka bermula di Pahang, Melaka, Selangor, Putrajaya, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Pulau Pinang, Perak, Sabah, Perlis, Sarawak dan Labuan.

Terdahulu, pengumuman Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr. Radzi Jidin pada 12 September lalu mengenai pengajaran dan pembelajaran (PdP) bersemuka secara berperingkat dan bergilir mengikut fasa memberi kelegaan kepada sebilangan besar ibu bapa.

Ini kerana PdP bersemuka lebih dominan keberkesanannya dalam penyampaian dan penerimaan ilmu terhadap pelajar.

Kembalinya anak-anak ke sekolah dapat memberikan kelegaan malah kegembiraan kepada ibu bapa yang sebelum ini menggalas peranan sebagai pengajar dan pada masa sama memikul beban kerja hakiki di rumah.

Pada waktu ini, ibu bapa memainkan peranan penting dalam menceriakan suasana dan memberi kata-kata semangat kepada anak-anak untuk terus belajar di samping mematuhi SOP.

Umum mengetahui terdapat isu keciciran pembelajaran dalam kalangan pelajar melalui kaedah PdPR.

Oleh yang demikian, keterujaan untuk kembali ke sekolah dalam kalangan pelajar khususnya murid tadika, prasekolah dan sekolah rendah harus disambut baik.

Aktiviti sambutan yang saya percaya dilakukan hampir di seluruh negara pada hari pertama persekolahan baru-baru ini haruslah dipuji.

Guru-guru membawa pelbagai sepanduk dan berpakaian seperti maskot bagi menyambut kedatangan para pelajar di pintu pagar sekolah.

Sambutan sedemikian seharusnya dipanjangkan hingga ke dalam kelas.

Antara perkara yang harus dihindari sewaktu awal sesi persekolahan ini adalah desakan supaya pelajar menghantar kerja sekolah yang diberikan sewaktu PdPR.

Persoalan kerja sekolah juga penting tetapi dalam mengembalikan motivasi pelajar, desakan sedemikian harus dinilai kesannya kerana boleh ‘membunuh’ semangat pelajar.

Ini untuk mengelak pelajar menghadapi tekanan dan kemurungan sehingga tidak mahu bersekolah secara bersemuka berikutan desakan guru untuk menghantar dan menyiapkan segera semua kerja sekolah.

Para guru boleh membina mood pelajar dengan berbual berkenaan aktiviti yang sering dilakukan di rumah.

Perbualan ringan ini mampu menyuntik semangat pelajar untuk bercerita dan meluahkan apa yang dirasakan serta dikongsi dengan rakan lain.

Setelah itu, guru boleh bertanya tentang hal pembelajaran semasa di rumah. Siapa yang membantu dalam pembelajaran?

Siapa yang ada masalah internet dan sebagainya? Ini bermaksud guru perlu mengenal pasti terlebih dahulu masalah dihadapi pelajar ketika sesi PdPR sebelum bertanyakan soal kerja sekolah.

Dengan langkah ini, para pelajar akan lebih bersemangat untuk mengharungi hari-hari seterusnya.

Pelajar bersedia untuk belajar bersungguh-sungguh sekiranya mereka dipengaruhi emosi dan kesihatan mental yang baik.

DR. ASMA’ WARDAH SURTAHMAN, UiTM Cawangan Melaka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya