Henti budaya perlekeh pengundi - Utusan Malaysia

Henti budaya perlekeh pengundi

SURUHANJAYA Pilihan Raya (SPR) telah mengumumkan PRN Melaka diadakan pada 20 November ini. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PROSES demokrasi mencerminkan kedaulatan rakyat di mana hak mereka diangkat. Bagaimanapun, sejak kebelakangan ini, hak rakyat semacam dikhianati.

Seolah-olah setiap pilihan raya seperti satu proses memperlekehkan rakyat. Terbaharu, Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang ditetapkan pada 20 November ini.

Oleh itu, ahli-ahli politik perlu beretika ketika berkempen dan jangan menghalalkan janji-janji kosong dengan pelbagai alasan.

Di samping itu, saya menyambut baik kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang) yang baharu, Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang menyatakan antara fokus beliau adalah memperkenalkan akta antilompat parti bagi menghalang tindakan lompat parti dalam kalangan ahli Parlimen.

Langkah ini boleh dibuat walaupun memerlukan sokongan majoriti dua pertiga di Parlimen.

Ini kerana penggubalan akta itu memerlukan pindaan kepada Perlembagaan Persekutuan berkaitan kebebasan bersuara dan berpersatuan.

Pejabat Peguam Negara juga perlu membuktikan impak lompat parti ini menggugat keselamatan, sekali gus istilah kebebasan bergerak, berpersatuan dan memilih harus diberi tafsiran baharu.

Saya berharap akta antilompat parti dapat digubal dan dilaksanakan secepat mungkin. Perlu ada desakan daripada pelbagai pihak bagi membolehkan akta ini menjadi kenyataan.

Ini kerana kita tidak boleh mengharapkan tindakan dalam kalangan ahli politik semata-mata kerana akta terbabit boleh menjejaskan survival karier politik mereka.

Mengharapkan sokongan ahli politik ini samalah seperti kita berharap mereka akan mengemukakan usul untuk menghapuskan pencen bertindih-tindih yang dinikmati setiap bulan.

Oleh itu, satu badan profesional perlu dibentuk bagi mempersembahkan segala usul secara terus kepada Yang di-Pertuan Agong bagi menangani kepincangan serta ketidakadilan dalam proses demokrasi.

TENGKU MAN, Senawang, Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya