Pindaan Akta Mara perlu telus mantapkan agenda Bumiputera

Pindaan Akta Mara perlu telus mantapkan agenda Bumiputera

BORHAN AHMAD ZAKARIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (PERKASA) menuntut agar pindaan Akta Majlis Amanah Rakyat (MARA) 1966 menjamin agenda Bumiputera kekal terpelihara dan peranannya sebagai institusi teras yang memperkasa golongan tersebut tidak dikurangkan atau dicairkan.

Pemangku Presiden PERKASA, Borhan Ahmad Zakaria berkata, pihaknya menyokong cadangan supaya MARA kekal relevan untuk 100 tahun akan datang, namun matlamat asal penubuhannya bagi merapatkan jurang ekonomi Bumiputera dan bukan Bumiputera tidak boleh dikompromi.

“PERKASA dengan ini menyokong penuh cadangan mewujudkan tadbir urus bebas dan sistem ketelusan dalam pengurusan aset Mara bernilai RM23 bilion.

“Kami mendesak agar satu portal awam diwujudkan supaya rakyat boleh memantau setiap sen perbelanjaan dan pelaburan Mara. Ini penting untuk memulihkan keyakinan masyarakat Bumiputera terhadap institusi ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kelmarin media melaporkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi yakin bahawa draf pindaan Akta Mara mampu disiapkan lebih awal.

Ahmad Zahid berkata, beliau sendiri akan membentangkannya dalam tempoh tiga minggu dari sekarang.

Borhan berkata, pihaknya turut bersetuju bahawa Mara perlu beralih daripada budaya ‘tongkat’ kepada ‘pemangkin’.

“Skim pembiayaan berasaskan prestasi dan meritokrasi perlu dilaksanakan segera. Hanya usahawan yang mempunyai pelan perniagaan kukuh dan berpotensi tinggi sahaja wajar menerima sokongan. Ini akan melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera kelas pertama yang berdaya saing di peringkat global.

” Mara juga dicadang memperluas jangkauan ke kawasan bandar dan pinggir bandar kerana 75 peratus Bumiputera kini menetap di luar kawasan luar bandar,” ujarnya.

Jelasnya lagi, Kolej Mara perlu dinaik taraf dengan program Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Kecerdasan Buatan (AI) dan Teknologi Hijau bagi melahirkan tenaga kerja Bumiputera yang bersedia menghadapi Revolusi Industri 4.0 (IR 4.0).

Tambahnya lagi, satu mekanisme saham komuniti Mara perlu dipertimbang supaya golongan Bumiputera dapat menjadi pemilik bersama dalam projek pelaburan strategik Mara.

“PERKASA mengingatkan bahawa kejayaan pindaan Akta Mara bukan terletak pada dokumen undang-undang semata-mata, tetapi pada pelaksanaan yang konsisten tanpa mengira pertukaran kepimpinan politik,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN