fbpx

1 Disember 2021, 12:04 am

  TERKINI

Harap Felda United kembali ke Liga M

PENGURUSAN Felda United FC perlu mempertaruhkan 100 peratus pemain tempatan jika mahu menjimatkan kos.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

LIGA Malaysia (Liga M) musim 2021 yang baru sahaja menamatkan saingan musim ini agak kurang seri dengan ketiadaan pasukan Felda United FC.

Gagal dalam proses penswastaan kelab bola sepak bersyarikat menyebabkan Felda United FC tidak layak bertanding dalam saingan Liga M musim 2021.

Kelab bola sepak itu mula menyertai saingan Liga M pada 2007 menerusi Piala FAM. Pencapaian Felda United FC agak membanggakan memandangkan usianya yang masih muda.

Pernah dinobatkan sebanyak dua kali sebagai johan Liga Premier pada 2010 dan 2018, selain muncul sebagai naib johan Piala FA pada 2014.

Skuad yang terkenal dengan julukan The Fighters ini juga agak unik kerana mempunyai penyokong hampir di seluruh pelosok negara terutama bagi negeri yang mempunyai tanah rancangan Felda.

Stadium Tun Abdul Razak (Star) di Jengka, Pahang ialah gelanggang rasmi Felda United FC yang berkapasiti 25,000 tempat duduk dan mula digunakan pada 2016.

Star adalah stadium khusus bola sepak yang memberikan satu cabaran berbeza buat pasukan lawan yang datang bertandang kerana dilengkapi rumput tiruan standard Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Satu kerugian jika stadium yang menelan belanja hampir RM90 juta itu tidak lagi dapat digunakan untuk acara bola sepak.

Pastinya juga warga Jengka merindui aksi perlawanan bola sepak tempatan di Star.

Diakui kos perbelanjaan terutama melibatkan pembayaran gaji mungkin membebankan bagi pasukan yang beraksi dalam Liga M.

Pihak pengurusan Felda United FC masih boleh berbelanja mengikut kemampuan dengan mempertaruhkan 100 peratus pemain tempatan termasuk bekas pelatih Akademi Bola Sepak Felda serta menumpukan kepada saingan Liga M3 terlebih dahulu untuk musim 2022.

M. FAISAL, Kuala Lumpur.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN