fbpx

Drama Korea bukan penyebab bunuh diri

RAMAI rakyat kita meminati drama dan budaya Korea Selatan.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, seorang senator dikecam pelbagai pihak kerana mendakwa drama Korea Selatan mungkin menjadi salah satu faktor yang mendorong orang ramai khususnya remaja untuk membunuh diri.

Ketika sesi perbahasan di Dewan Negara itu, senator terbabit mendakwa banyak drama dari Korea Selatan menggambarkan elemen bunuh diri sebagai pilihan apabila seseorang gagal dalam hidup.

Kata-kata senator itu menerima pelbagai maklum balas daripada warganet dengan bermacam-macam interpretasi masing-masing.

Dakwaan sedemikian mungkin dianggap mudah, namun ia cukup menyakiti pelbagai pihak terutamanya keluarga mangsa yang membunuh diri.

Adakah kita terlalu memperlekehkan kesengsaraan ditanggung remaja atau individu lain yang berkecenderungan untuk membunuh diri dengan mendakwa mereka begitu mudah menamatkan hidup hanya dengan menonton drama dari luar negara?

Saya tidak mena­fikan kesan budaya popular kepada belia malah pelbagai kajian telah dijalankan termasuk yang hanya memfokuskan kepada drama-drama Korea Selatan.

Contohnya, kajian Cho Chul Ho pada 2010 mengakui berlaku perubahan sosiobudaya, cara pemikiran dan gaya hidup rakyat Malaysia yang meminati produk dan budaya Korea Selatan dari segi makanan, barangan, melancong ke negara itu dan mereka lebih terbuka dalam idea pendermaan organ.

Kajian Mazdan Ali dan Lau Mei Wen pada 2018 yang hanya memfokuskan kepada belia di bandar Kuching, Sarawak mendapati faktor utama mereka menonton drama Korea Selatan adalah untuk belajar dan bersosial.

Secara peribadi, saya telah menjalankan kajian doktor falsafah (PhD) dengan meneliti peminat produk dan budaya Korea Selatan di Malaysia selama lima tahun.

Saya melakukan kajian etnografi­ yang memerlukan seseorang merekodkan penemuan melalui pemerhatian dan wawancara.

Sebagai penyelidik, saya berusaha untuk memahami sepenuhnya makna dan pengalaman budaya peminat terbabit dalam kalangan belia, orang dewasa, wanita dan lelaki. Saya mendengar kisah dan memerhati keluarga peminat terbabit.

Disebabkan wabak Covid-19, saya berpeluang melihat bagaimana fenomena gelombang Korea Selatan kekal kukuh walaupun segala aktiviti ­ fizikal tidak dapat dilakukan di seluruh dunia.

Rentetan itu, ingin ditekankan, tidak seorang pun peminat yang saya temui menceritakan mereka mempunyai kecenderungan untuk membunuh diri disebabkan produk dan budaya Korea Selatan yang mereka minat.

Bahkan, mereka lebih menitikberatkan mesej-mesej positif tentang kekeluargaan, menghormati orang lain dan berfikiran lebih terbuka apabila menghadapi norma kehidupan.

Namun, saya tidak menafikan ada sebilangan individu menonton drama Korea Selatan untuk mengisi kekosongan jiwa atau kesedihan disebabkan masalah keluarga dan peribadi.

Mereka beranggapan drama-drama ini sebagai eskapisme tetapi pada masa sama masih lagi mengetahui sempadan realiti.

Apa yang lagi penting, mereka masih memiliki jati diri tempatan yang kukuh hasil didikan ibu bapa dan tidak sedikit pun melupakan agama dan budaya masing-masing.

Oleh itu, adalah tidak wajar mana-mana pihak memperlekehkan dan merendahkan kualiti ilmu serta pedoman hidup yang terdapat dalam diri setiap rakyat Malaysia.

Orang ramai tidaklah begitu tipis jati diri sehingga begitu mudah untuk menerima sebarang kandungan tanpa keupayaan menapis atau meneliti baik buruk sesuatu mesej itu.

NURUL AKQMIE BADRUL HISHAM, Pelajar PhD, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

POPULAR

KOSMO! TERKINI