fbpx

30 November 2021, 11:29 am

  TERKINI

Cadang wanita tubuh kelab membeli-belah

PENUBUHAN kelab membeli-belah di kawasan tempat tinggal boleh memudahkan urusan pembelian barangan keperluan pada harga jauh lebih murah. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

GOLONGAN wanita terutama kaum ibu dan isteri dicadang menubuhkan kelab membeli-belah di kawasan perumahan masing-masing bagi mengelakkan pembelian barangan secara berlebihan sehingga berlaku pembaziran.

Rancangan ini mestilah bermula dengan mesyuarat dan sekurang-kurangnya seorang dari setiap keluarga menghadirinya.

Pihak penganjur dan ahli akan berbincang mengenai peranan kerjasama anggota dan perkara yang menghalang kecekapannya.

Setelah dipersetujui, sejumlah wang mestilah dikutip untuk membeli barangan yang diperlukan.

Katakanlah kira-kira RM80 dikutip daripada setiap keluarga bagi pembelian minggu pertama.

Jumlah itu boleh dipinda jika tidak mencukupi. Senarai barangan yang sering dibeli menentukan jumlah dan jenis yang patut dibeli pada masa hadapan.

Jadual kerja kemudian dirangka supaya setiap anggota sedar tanggungjawabnya dan bersedia menyumbang demi kejayaan kelab.

Membeli-belah selalunya dilakukan oleh dua orang atau lebih di pasar borong sekali dalam seminggu. Wang kutipan akan dijadikan tabung untuk membeli-belah pada minggu akan datang.

Kelebihan kelab ini bukan sahaja memudahkan golongan wanita yang bekerja dan perlu menjaga anak di rumah tetapi dapat membeli pada harga jauh lebih murah kerana dibeli dalam kuantiti yang banyak (borong).

Kelab membeli-belah serupa ini banyak mencapai kejayaan di New York, Amerika Syarikat. Mereka berjaya menjimatkan sehingga 40 peratus perbelanjaan.

Mereka juga mendapat barangan makanan lebih segar kerana dibeli pada setiap minggu selain mempunyai lebih kuasa membeli kerana peniaga borong lebih suka memuaskan hati pembeli yang ramai.

BULBIR SINGH, Seremban.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN