fbpx

25 Oktober 2021, 6:14 am

  TERKINI

Bos jangan pula terlebih ‘mengeteh’

ELAK duduk secara rapat sambil minum di warung dan restoran. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KITA sudah sedia maklum, fasa pandemik Covid-19 kini beralih secara beransur-ansur kepada fasa endemik.

Ini bermakna tiada lagi sekatan merentas negeri, pekerja dibenarkan hadir secara ­fizikal ke pejabat dan pelajar boleh kembali ke sekolah.

Bagaimanapun, terdapat persoalan bagaimana seorang pemimpin sama ada di sektor kerajaan atau swasta untuk memimpin para pekerjanya dalam suasana endemik ini dengan lebih berkesan.

Tempoh hampir dua tahun pandemik menyebabkan kebanyakan pekerja bergelut dengan gejala kebimbangan melampau kerana pelbagai sebab termasuk risau jangkitan virus yang boleh menjejaskan prestasi kerja.

Oleh itu, pemimpin tidak harus memandang remeh isu kesihatan mental dengan memastikan hubungan mereka dengan pekerja sentiasa berada pada tahap baik sehingga pekerja boleh meluahkan perasaan mereka.

Berikutan amalan bekerja secara hibrid dijangka berterusan, maka akan ada pekerja yang masih bekerja dari rumah (BDR).

Terdapat tiga aspek yang perlu dititikberatkan dalam mengukuhkan hubungan majikan dengan pekerja ketika bekerja secara hibrid iaitu kepercayaan terhadap keupayaan, integriti dan kesetiaan mereka.

Majikan perlu elak rasa ragu-ragu terhadap keupayaan pekerja BDR dalam menghasilkan kerja yang diberikan kepada mereka.

Pekerja yang sudah mula hadir secara ­fizikal juga berhadapan dengan suasana kekok di tempat kerja berikutan prosedur operasi standard (SOP) baharu yang perlu dipatuhi.

Di sini, majikan perlu memainkan peranan efektif dengan mengurangkan tekanan dan memberi ruang adaptasi kepada pekerja mereka dengan situasi atau SOP baharu di tempat kerja.

Sebagai bos, mereka perlu menjadi contoh kepada pekerja dalam aspek integriti dan kejujuran.

Sebagai contoh, budaya ‘mengeteh’ atau minum sambil berborak bagi tempoh yang panjang di warung dan restoran harus dielakkan walaupun dibenarkan ketika tempoh endemik.

Terdapat laporan sebelum ini, aktiviti itu turut menyumbang kepada penularan virus berkenaan dengan sikap alpa masyarakat yang duduk secara rapat sambil membuka pelitup muka.

DR. SITI SARAH OMAR, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN