Orang pelik, sudah berumur pun masih kumpul mainan - Aziz M Osman - Utusan Malaysia

Orang pelik, sudah berumur pun masih kumpul mainan – Aziz M Osman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bagi sesetengah individu, minat mengumpul mainan mungkin sekadar hobi zaman kanak-kanak yang ditinggalkan apabila usia semakin meningkat.

Namun, bagi pengarah dan penerbit, Aziz M. Osman, minat terhadap figura aksi tidak pernah pudar meskipun usianya kini 63 tahun, selain percaya setiap koleksi yang dimiliki mempunyai nilai sentimental tersendiri.

“Saya mula mengumpul mainan dari kecil sehingga kini. Segalanya bermula kerana saya suka akan figura aksi Batman pada era 60-an dan watak villain dalam Star Wars, The Sith seperti Darth Vader dan lightsaber.

“Cuma, apabila usia semakin meningkat, mainan yang saya miliki juga semakin mahal. Jadi, saya hanya mengumpul permainan edisi khas sahaja. Yang mana kebanyakannya ada nombor siri dan dalam dunia saya seorang saja yang ada.

“Nombor kegemaran saya adalah 4212. Saya kumpul nombor kereta, nombor telefon, semua di hujungnya saya pilih nombor yang sama. Jadi, untuk mainan ini pun saya pilih nombor sirinya digit yang sama,” katanya kepada Pancaindera.

Penerbit Senario The Movie itu turut mendedahkan jumlah keseluruhan yang telah dilaburkan untuk koleksi edisi khas permainan yang dimilikinya hari ini sudah mencecah RM60,000.

Tambah pengarah prolifik itu, setiap koleksi permainan yang dikumpul hanyalah sekadar perhiasan, bahkan dirinya tidak terfikir untuk menjualnya meskipun cakna ia adalah pelaburan terbaik.

“Mainan saya bukan untuk main. Pegang pun tidak boleh. Dulu sebelum saya serahkan mainan saya kepada rakan saya, mainan itu tidak dikeluarkan daripada kotak pun.

“Jadi, nilainya akan lebih mahal lah bila tak keluar kotak. Mainan ini bukan untuk anak main-main. Saya beli untuk duduk tengok sahaja. Saya bukan ahli perniagaan.

“Saya beli bukan untuk jual balik atau buat untung. Saya beli untuk kepuasan diri. Cuma sekarang memang ramai beli ‘collectible item’ sebagai pelaburan. Tapi saya bukan orang sebegitu. Saya malas mahu jual satu-satu,” jelasnya.

Aziz bagaimanapun mengakui dia terpaksa memberikan sebahagian koleksi yang dimilikinya kepada kenalannya demi mengurangkan penggunaan ruang di rumah.

“Bila anak-anak semua sudah membesar dan berkahwin, rumah saya menjadi semakin kecil.

“Jadi, saya perlu kurangkan mainan-mainan yang ada untuk ruangan yang lebih minimalis. Saya lebih pentingkan ketenangan. Saya lagi stres bila tengok benda berhabuk. Jadi, daripada tidak terjaga, lebih baik saya serah kepada orang yang boleh jaga. Saya beri sebahagian mainan itu kepada kawan saya, Adam John.

“Memang benda itu ada nilainya, tapi tak adalah nilai tinggi sebab yang nilai tinggi semua saya masih simpan. Prinsip saya, barang dalam rumah memang saya tidak akan jual,” kongsinya.

Dalam masa sama, Aziz mengakui hobinya itu pernah dianggap pelik kerana masih mengumpul permainan biarpun usianya sudah lanjut.

“Suatu ketika dahulu ada orang pelik sebab sudah berumur pun masih kumpul mainan. Tetapi sekarang pengumpul mainan sudah semakin ramai. Jadi, saya tidak rasa terasing.

“Malah ada yang lagi tegar daripada saya. Seperti rakan saya itu, dia ada muzium mainannya sendiri. Seperti saya cukup sekadar mengumpul untuk kepuasan diri dan cuci mata,” katanya lagi.

Sempat berseloroh, Aziz menyifatkan hobi yang dimilikinya hari ini juga merupakan satu ketagihan yang sukar untuk dihentikan, selain perlu melatih diri untuk berbelanja dengan bijak.

“Jika mereka mahu mula hobi yang sama, nasihat saya hentikan sebab ia akan jadi ketagihan. Kadang-kadang duit tidak mengizinkan.

“Tetapi bila nampak barang rare di kedai, dia rasa kena beli juga takut orang lain ambil. Saya pernah hadapi situasi itu. Apabila duit terhad tapi tetap beli sebab ikut nafsu. Susah mahu kawal bila sudah jadi hobi tegar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN