Bimbang main kutu ala Squid Game - Utusan Malaysia

Bimbang main kutu ala Squid Game

CARA permainan kutu ala perniagaan adalah sangat kejam seperti dalam drama Squid Game. – MEDIA SOSIAL
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA mempunyai isu yang perlu diketengahkan kepada umum mengenai gaya hidup masyarakat kita yang menjadikan permainan kutu sebagai aktiviti mendapatkan wang di musim pandemik Covid-19.

Biasanya kita tahu kutu adalah aktiviti mengumpul wang dalam kalangan kawan-kawan tetapi yang menjadi isu apabila ia dijalankan secara perniagaan.

Cara permainan kutu sebegini adalah sangat kejam seolah-olah seperti dalam siri drama televisyen Korea Selatan yang paling popular di seluruh dunia sekarang, iaitu Squid Game.

Ini bermakna pemain terdiri daripada pelbagai latar belakang yang tidak mengenali antara satu sama lain.

Pengendali aktiviti ini yang dikenali sebagai mak kutu mengenakan caj upah, bayaran deposit dan denda lewat yang sangat tinggi serta membebankan pemain.

Jika pemain hendak berhenti permainan, wang yang dilaburkan akan hangus dan tidak dipulangkan.

Pemain juga dikenakan denda mengikut syarat permainan malah nama pemain akan ditularkan untuk dimalukan jika lambat membuat bayaran atau berhasrat berhenti bermain di pertengahan jalan.

Bukan itu sahaja, nama ahli keluarga seperti suami turut akan ditularkan dan wakil mak kutu akan menghubungi pejabat suami untuk menyatakan si suami berhutang dengan mereka padahal mereka telah mempunyai sejumlah wang isteri (pemain tersebut) yang tidak dipulangkan.

Tujuan mak kutu menularkan nama ahli keluarga bertujuan menekan pemain supaya meneruskan permainan.

Itu belum lagi kes mak kutu berpakat dengan pemain yang menyokongnya untuk memaki dan menghina secara beramai-ramai pemain yang menghadapi masalah untuk membayar pada setiap kali giliran sehingga memberi kesan ke atas psikologi pemain yang menjadi mangsa.

Ada kes pemain menangguhkan bayaran disebabkan ketiadaan wang tetapi akhirnya dipaksa membayar denda sehingga RM3,000 bagi beberapa hari lewat membuat bayaran.

Aktiviti ini memudahkan mak kutu memperoleh wang dengan cara yang tidak sepatutnya dan menjadikan pemain tertekan.

Pada awalnya mak kutu akan memujuk bakal pemain untuk bermain kutu dengan mereka dengan kata-kata manis dan iklan yang menarik tetapi bila pemain bersetuju untuk bermain, mak kutu mula menekan pemain dengan pelbagai cara untuk mendapatkan wang.

Mak kutu juga meletakkan pemain hantu (sebenarnya pemain tersebut adalah mak kutu dengan nama samaran) bagi mendapatkan wang lebih daripada pemain.

Modus operandinya adalah melalui media sosial. Mak kutu yang mendapat keuntungan daripada permainan kutu ini memperoleh keuntungan dengan cara yang salah kerana tidak mempunyai lesen perniagaan dan tidak membayar cukai sedangkan rata-rata keuntungan mencecah empat hingga lima angka.

Permainan kutu jenis ini bagi saya sangat parah dan menyebabkan ramai orang tersepit.

Itu belum lagi kes mak kutu yang membawa lari wang tunai pemain berjumlah hampir RM2 juta.

Polis tidak dapat mengambil tindakan kerana dari sudut undang-undang, permainan kutu adalah jenayah dan pemain akan turut dikenakan hukuman jika kes dilaporkan.

Jadi, di mana hak pemain yang dianiaya?

HAMBA ALLAH, Kuala Lumpur.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.