Bimbang berlaku skandal 1MDB 2.0 - Utusan Malaysia

Bimbang berlaku skandal 1MDB 2.0

TAWARAN tersebut melibatkan pakej telefon pintar 5G pelan data di bawah jenama Samsung A14 5G dan Honor 90 Lite 5G.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KERAJAAN melalui Kementerian Kewangan menubuhkan satu lagi syarikat milik kerajaan (GLC) untuk membina dan memiliki rangkaian teknologi mudah alih generasi kelima (5G) di seluruh negara yang akan menelan belanja sebanyak RM15 bilion.

Dakwaan kerajaan dengan penubuhan Digital Nasional Berhad (DNB) bagi mengurus dan menjadi pembekal utama rangkaian 5G bakal menawarkan harga lebih murah dan kelajuan lebih baik adalah satu kenyataan tidak tepat.

Dengan wujudnya DNB, ia merupakan satu kos tambahan kerana syarikat itu perlu menyewa infrastruktur milik orang lain atau membina infrastruktur baharu.

Malah, DNB juga akan menimbulkan risiko-risiko lain kepada industri tempatan dan pengguna seperti keselamatan dan ketahanan rangkaian 5G yang boleh menjurus kepada masalah satu titik kegagalan (SPOF) iaitu sekiranya satu komponen rosak, keseluruhan rangkaian tidak boleh berfungsi.

Tanpa wujudnya jualan dengan terma komersial untuk rangkaian spektrum 5G, kerajaan dijangka kehilangan potensi keuntungan RM5 bilion jika dibuka untuk pembelian oleh syarikat-syarikat telekomunikasi sedia ada.

Ketika kerajaan menyatakan negara sudah tiada wang, kenapa cara sebegini yang menguntungkan tidak digunakan?

Sebaliknya dengan penubuhan DNB, kerajaan terpaksa membelanjakan RM15 bilion dengan cara berhutang atau penerbitan bon yang dijamin kerajaan.

Oleh kerana DNB ini milik penuh Kementerian Kewangan, maka yang terpaksa membayar hutang ini adalah rakyat jika pengurusan kewangan dan operasinya gagal diurus dengan baik.

Setakat ini, hampir RM180 juta sudah disuntik kepada DNB dan dianggarkan sebanyak RM300 juta lagi akan disalurkan dalam masa terdekat.

Ketika rakyat tiada makanan dan pekerjaan, ini adalah pembaziran yang amat jelik.

Bagi menyediakan infrastruktur rangkaian 5G, DNB memberikan kontrak besar RM11 bilion kepada sebuah syarikat tunggal iaitu Ericsson.

Dengan menyedari fakta bahawa DNB adalah milik penuh kerajaan melalui Kementerian Kewangan, apakah pelan pembayaran hutang bagi tujuan perbelanjaan untuk membina rangkaian 5G ini?

Penyediaan infrastruktur oleh kerajaan bakal meletakkan risiko kerugian nilai kepada syarikat-syarikat telekomunikasi dalam negara yang telah sedia ada memiliki infrastruktur.

Ia turut memberi impak kepada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Permodalan Nasional Berhad (PNB) dan Lembaga Tabung Haji yang memiliki sejumlah besar saham dalam syarikat-syarikat telekomunikasi tersebut.

Kerajaan melalui syarikat-syarikat berkaitan kerajaan juga telah sedia ada mempunyai pemilikan saham strategik dalam Telekom Malaysia, Axiata, Celcom dan Digi.

Apakah wajar untuk menubuhkan satu lagi syarikat baharu dalam industri sama dengan dana dari pasaran modal yang dijamin kerajaan?

Bukankah ia hampir menyamai modus operandi 1MDB dahulu sehingga merugikan kerajaan dan rakyat?

Kebimbangan ini bertambah apabila Fitch Ratings menurunkan kadar penarafan sektor telekomunikasi Malaysia pasca pengumuman perancangan 5G dengan menggariskan beberapa isu seperti kurang ketelusan dan kurang penglibatan sektor swasta.

Dalam suasana negara sedang bergelut dengan pemulihan pasca Covid-19 dan kedudukan kewangan negara yang sangat kritikal, kerajaan tidak seharusnya membuat perancangan berisiko sebegini sehingga mampu meletakkan tahap kewangan negara bertambah terancam.

DR. ABU HAFIZ SALLEH HUDIN, Ketua Pejuang Muda.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya