fbpx

Biar mahkamah tentu keputusan

ROZMAN Isli (dua dari kiri) ditemani beberapa ahli Parlimen berjalan keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menggunakan kedudukan untuk mendapatkan rasuah pada 14 Oktober lalu. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

BARU-BARU ini, Ahli Parlimen Labuan, Datuk Rozman Isli didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas tuduhan mendapatkan kontrak pekerjaan bagi syarikat di mana bapa dan adiknya mempunyai kepentingan.

Jika dibuat pengiraan, Ketua Whip Parti Warisan Sabah (Warisan) itu ialah ahli Parlimen kedua yang didakwa di mahkamah pada tahun ini selepas Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman atas pertuduhan pecah amanah.

Natijahnya, apabila berlakunya pertuduhan seumpama ini di mahkamah, maka secara automatiknya ada pihak terus mengaitkan tuduhan rasuah itu bermotifkan politik.

Agensi yang menjadi sasaran tentunya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang sering dilabel sebagai ‘senjata politik’ parti pemerintah.

Bagaimanapun, adalah tidak adil terus memberikan persepsi negatif bahawa setiap kali SPRM mendakwa ahli politik atas tuduhan rasuah atau salah guna kuasa, ia dikaitkan dengan campur tangan politik.

Mungkin kes pendakwaan beliau dilihat berlaku secara kebetulan ketika kerajaan Perikatan Nasional memerintah dan diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sejak Ogos lalu.

Berdasarkan laporan media, siasatan terhadap Rozman bermula Januari 2020 dan kebenaran untuk mendakwa dilakukan pada Julai lalu setelah siasatan teliti dijalankan.

Ia bukan siasatan tangkap muat sahaja. Bagaimanapun, Rozman mempunyai hak untuk menangkis segala tuduhan terhadapnya ketika kes ini dibicarakan di mahkamah kelak.

Justeru, timbul persoalan bagaimana pendakwaan kes ini dikaitkan dengan motif politik sebagaimana yang didakwa oleh Rozman dalam kenyataan medianya sedangkan pentadbiran kerajaan pimpinan Ismail Sabri baru mengangkat sumpah pada Ogos lalu.

Sepatutnya, masyarakat umum mahupun ahli politik harus faham bahawa SPRM berhak melakukan siasatan dan pendakwaan terhadap mana-mana individu selaras dengan status agensi itu sebagai sebuah badan bebas.

Ia adalah proses biasa dalam perundangan negara dan seseorang yang disiasat itu masih tidak terbukti bersalah selagi belum dijatuhkan hukuman oleh mahkamah.

SPRM tentu ada tatacara tertentu untuk digunakan bagi melakukan siasatan malah kes membabitkan ahli politik bukan perkara baharu di negara ini termasuk melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak; Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Hakikatnya, SPRM berhak menyiasat sesiapa sahaja tanpa mengira darjat atau kedudukan kerana siasatan dibuat berdasarkan kepada bukti yang ada dan menyeluruh membabitkan semua proses perundangan.

Oleh itu, sesiapa pun yang sedang menghadapi pertuduhan rasuah harus mempertahankan diri di mahkamah dan bukan membuat tohmahan atau persepsi tertentu seolah-olah mahukan ia diadili oleh masyarakat umum.

Sistem perundangan negara tidak seharusnya diperlekehkan seperti ini dan biarlah segala dakwaan diadili di hadapan hakim yang bijaksana dan bukannya di luar mahkamah atau dalam media sosial.

Sehubungan itu, trend atau budaya ahli politik mengulas dan memberi kenyataan media selepas pertuduhan atau kes-kes yang sedang berjalan di mahkamah perlu dihentikan segera kerana ia akan merosakkan sistem perundangan dengan persepsi negatif.

MOHIZAM YAHYA, Pemerhati politik, Taiping, Perak.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN