Belajar hidup bersama virus - Utusan Malaysia

Belajar hidup bersama virus

WALAUPUN negara beralih ke fasa endemik, pematuhan terhadap SOP penularan Covid-19 perlu sentiasa diamalkan oleh masyarakat. – UTUSAN/AMIR KHALID
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PERALIHAN ke fasa endemik bukan bermakna Malaysia sudah mengaku kalah dalam mengekang penularan wabak Covid-19. Sebaliknya, ia merupakan satu realiti yang perlu diterima untuk hidup bersama virus.

Walaupun akan berlaku peralihan fasa, ini bukan bermakna kita sudah bebas daripada wabak Covid-19, malah prosedur operasi standard (SOP) masih perlu dipatuhi.

Kehidupan dalam fasa endemik atau hidup bersama virus tidak bermakna kita sudah boleh menarik nafas lega sebaliknya ia memerlukan kerjasama, kepekaan dan keprihatinan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

Dalam menuju fasa endemik ini, pemerkasaan komuniti sangat penting bagi setiap kelompok masyarakat tidak kira lapisan umur, jantina, bangsa dan agama.

Persediaan ini merangkumi beberapa aspek penting seperti mental, fizikal dan ekonomi.

Dari segi mental misalnya, setiap kelompok masyarakat mesti kekal berfikiran positif dalam mendepani segala kemungkinan disebabkan wabak Covid-19.

Masyarakat seharusnya tidak mudah menerima dan mempercayai sebarang spekulasi atau berita palsu yang tersebar dalam media sosial.

Selain itu, masyarakat mesti menitikberatkan kesihatan mental dan tidak memandang enteng sekiranya mengalami masalah seperti tekanan, kemurungan, kebimbangan dan lain-lain.

Corak pemikiran yang positif akan membawa kepada emosi dan tingkah laku yang boleh membantu masyarakat mendepani kehidupan dalam fasa endemik.

Pemerkasaan diri dari segi fizikal pula merujuk kepada langkah yang ditonjolkan dalam setiap tindakan masyarakat.

Meskipun kelonggaran aktiviti bersosial dilaksanakan oleh kerajaan, kita mesti kekal mematuhi saranan kerajaan seperti mematuhi SOP, mendapatkan vaksinasi dan mengamalkan gaya hidup sihat.

Ini kerana negara masih belum pulih sepenuhnya dan setiap rakyat harus berwaspada dan mengambil iktibar daripada kecuaian yang telah berlaku sebelum ini.

Pemerkasaan diri amat penting dalam memastikan rakyat terus kekal sihat.

Tidak dapat dinafikan, semenjak negara mengetatkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), terdapat sebilangan besar kelompok masyarakat yang terjejas ekonominya sedangkan kewangan merupakan aspek yang sangat penting untuk kelangsungan hidup.

Rakyat dilihat amat kreatif dalam menjana pendapatan bagi menampung kos sara hidup yang tinggi.

Pandemik ini mengakibatkan wujudnya kekangan berbelanja secara terus atau bersemuka, maka platform dalam talian merupakan peluang keemasan yang boleh dipertimbangkan oleh golongan peniaga melalui kaedah e-dagang.

Selain itu, agensi-agensi yang terjejas boleh mencari penyelesaian bagi memastikan perkhidmatan masih berjalan. Sebagai contoh, zoo di seluruh negara turut terjejas akibat PKP.

Namun, mereka masih boleh meneruskan perkhidmatan melalui kaedah berbeza seperti lawatan maya.

Usaha ini harus dicontohi. Ini membuktikan pihak zoo masih bersemangat dan tidak mudah melatah dengan situasi semasa yang melanda negara. Malah, mereka juga bijak dalam mencipta peluang yang ada.

Begitu juga dengan perkhidmatan perhotelan yang turut mengalami nasib sama. Kakitangan hotel sanggup turun padang mempromosikan makanan di tepi jalan.

Inisiatif ini terpaksa dilakukan demi kelangsungan hidup pekerja dan operasi hotel susulan perniagaan yang susut.

Oleh yang demikian, masyarakat dinasihatkan untuk mengambil langkah drastik agar lebih bersedia dan belajar hidup bersama virus Covid-19 dengan mengamalkan norma baharu yang ditetapkan pihak berwajib.

DR. AZMAWATY MOHAMAD NOR, Pensyarah Kanan dan Kaunselor Berdaftar, Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya (UM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya.