fbpx

Bakat profesional pemangkin industri halal

INDUSTRI halal Malaysia dijangka menyumbang 8.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar pada 2025. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

PADA 2025, industri halal Malaysia dijangka menyumbang 8.1 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) selain penjanaan pendapatan eksport berjumlah RM56 bilion.

Seiring perkembangan ini, kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) memberi tumpuan kepada usaha membangunkan bakat halal sebagai pemangkin dalam usaha memperkukuh industri halal.

Istilah bakat merujuk kepada individu yang mempunyai set kemahiran, pengetahuan dan kebolehan luar biasa yang dikenal pasti melalui pemantauan dan penilaian prestasi.

Namun, antara cabaran yang dihadapi oleh industri halal negara ketika ini adalah pembangunan kurang memberangsangkan termasuk aspek ketersediaan bakat.

Maka, langkah segera perlu dibuat untuk melahirkan bakat halal baharu yang sentiasa mencukupi dari semasa ke semasa.

Ini kerana berkembangnya industri halal selepas ini secara tidak langsung meningkatkan permintaan profesional halal di dalam industri.

Paling utama, jurang kompetensi bakat baharu dan bakat profesional sedia ada perlu segera diperkecilkan.

Institusi pendidikan tinggi dan institusi latihan kemahiran perlu terus proaktif menawarkan lebih banyak program berkaitan halal bagi menghasilkan graduan yang kompeten.

Hasilnya nanti akan wujud kepelbagaian bakat profesional halal mewakili subindustri seperti peranti perubatan, kosmetik dan farmaseutikal.

Alat penilaian kompetensi bakat profesional yang lebih komprehensif juga wajar dibangunkan.

Dalam konteks pengurusan sumber manusia, alat penilaian ini perlu mampu menghasilkan pro­fil kompetensi profesional halal terkini sebagai panduan kepada pihak yang memberi latihan dan pembangunan profesional.

Dengan pertambahan bilangan bakat halal baharu yang berkualiti dan profesional, ia akan menarik minat lebih banyak syarikat dari luar negara untuk melabur di Malaysia.

DR. MUHAMMAD AIMAN ARIFIN, UiTM Kampus Arau, Perlis.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN