SAUDARA PENGARANG,
PADA Oktober saban tahun, kerajaan membentangkan belanjawan. Belanjawan bermaksud anggaran kewangan meliputi jumlah hasil yang diperoleh dan jumlah perbelanjaan yang dilakukan kerajaan dalam tahun kewangan tertentu.
Struktur belanjawan terbahagi kepada dua iaitu hasil dan perbelanjaan. Ringkasnya, belanjawan bersamaan jumlah hasil tolak perbelanjaan. Belanjawan terbahagi kepada beberapa jenis iaitu belanjawan lebih, belanjawan kurangan atau defisit dan belanjawan berimbang.
Pada tahun ini, didapati hasil Kerajaan Persekutuan menurun kerana penularan pandemik Covid-19 semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selama sembilan bulan yang menyebabkan banyak sektor perniagaan, perkhidmatan, pertanian menguncup kerana tidak dapat beroperasi seperti biasa. Keadaan ini juga menyebabkan kutipan cukai menurun pada 2022.
Pakej bagi memulihkan ekonomi negara yang terjejas disebabkan pandemik ini dianggarkan RM600 bilion.
Sejak penularan wabak Covid-19, ramai yang tertekan hingga menyebabkan penyakit mental meningkat termasuk kejadian bunuh diri. Justeru, bagi memelihara kesenjangan golongan ini, dicadangkan dalam Bajet 2022, kerajaan mengambil ketetapan bahawa penyakit mental diabsahkan dalam 36 penyakit kritikal yang boleh menuntut pampasan insurans bagi bilangan hari yang dirawat.
Kerajaan mempunyai banyak inisiatif untuk memulihkan ekonomi negara bagi tempoh 2021 hingga 2025. Inisiatif ini perlu mempunyai program promosi yang agresif melalui pelbagai saluran media sama ada digital atau konvensional. Ia melibatkan kos tambahan kerajaan kepada kementerian, jabatan serta agensi. Adalah dicadangkan peruntukan promosi dan publisiti ditambah untuk setiap kementerian.
Pada masa sama, perjawatan Unit Komunikasi Korporat atau pasukan komunikasi di setiap kementerian, jabatan dan agensi dimantapkan lagi manakala Ketua Komunikasi Korporat diberikan satu gred ke atas bagi tujuan menarik golongan pekerja swasta yang berpengalaman menyertai sektor awam. Selain itu, fungsinya diperkemaskan dengan penubuhan unit penggalakan program promosi dan publisiti.
Pada masa sama, kekangan yang dihadapi dalam kementerian dan agensi awam adalah terhadap perolehan kerajaan. Prosedur Acara Kewangan 1957 perlu dikaji untuk mempercepatkan urusan perbelanjaan segera. Perlu diteliti semua oleh Kementerian Kewangan agar lebih telus. Semoga peraturan yang berkuasa tidak lapuk dan pada masa sama pembayaran dapat dipercepat dan integriti diperkasakan. Apabila peraturan diperketat, rumit untuk diproses, maka sumber kewangan sering tidak habis dibelanjakan.
YOSRI ABU MAHSIN, Putrajaya