fbpx

25 Oktober 2021, 6:01 am

  TERKINI

Undi rakyat tidak boleh dijual beli

SEKIRANYA Parlimen ingin bergerak menjadi sebuah badan perundangan kelas pertama, tindakan melompat parti tidak patut dijadikan amalan. – IHSAN PARLIMEN MALAYSIA
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

SAYA ingin merujuk Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai antara Kerajaan Persekutuan dengan Pakatan Harapan (PH) pada 13 September lalu.

Antara kandungan MoU itu adalah mempersetujui penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Anti Lompat Parti.

Harus diakui, Perlembagaan Persekutuan yang dibentuk seawal negara mencapai kemerdekaan tidak langsung mewujudkan Akta Anti Lompat Parti dalam kalangan ahli Dewan Rakyat.

Bahkan tindakan tersebut dijadikan asas lanjut bahawa demokrasi sebenarnya mengizinkan ahli Parlimen untuk melompat parti.

Bagi ahli politik yang berpegang kepada prinsip matlamat menghalalkan cara yang dipelopori oleh ahli falsafah dari Itali, Nicolo Machiavalli, tidak salah bagi mana-mana ahli Parlimen untuk melompat ke parti lain.

Perkara tersebut juga dijamin dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan yang membenarkan kebebasan bercakap, berhimpun dan menubuhkan persatuan.

Bagaimanapun, sekiranya Parlimen ingin bergerak menjadi sebuah badan perundangan kelas pertama, tindakan melompat parti tidak patut dijadikan amalan ahli Dewan Rakyat.

Selepas dipilih oleh rakyat dalam pilihan raya, tindakan melompat parti jelas membelakangkan amanah yang diberikan oleh pengundi.

Tindakan tersebut boleh dianggap sebagai suatu pengkhianatan terhadap demokrasi dan seterusnya merosakkan imej Parlimen itu sendiri.

Suara rakyat yang diterjemahkan dalam bentuk undi bagi mewakili hasrat dan aspirasi mereka bukanlah suatu komoditi yang boleh ditawar dan dijual beli kepada pembida tertinggi semata-mata mahu menjatuhkan mana-mana kerajaan yang dipilih oleh rakyat secara demokrasi.

Setiap ahli Dewan Rakyat harus faham prinsip mereka apabila menyertai perjuangan dalam satu-satu parti politik sehingga mereka layak dicalonkan untuk mewakili parti dalam pilihan raya.

Parti yang diwakili itu turut mempengaruhi pengundi berdasarkan manifesto dan juga aspirasi perjuangan yang dibawa.

Hanya ahli Parlimen yang mementingkan diri sanggup menggadai prinsip perjuangan untuk dibida menerusi tawaran ganjaran tertinggi.

Demokrasi akan menjadi seumpama pasaran bebas tempat ahli politik berniaga, membeli dan menjual suara rakyat. Inilah punca kepada segala kekalutan politik yang berlaku di negara kita pada hari ini.

Tindakan membeli suara rakyat untuk menjatuhkan kerajaan yang sah pernah berlaku pada pasca pilihan raya umum 2008 apabila Barisan Nasional (BN) menang tanpa mendapat majoriti dua pertiga.

Ketika itu, pemimpin pembangkang berusaha untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September 2008 dengan cuba menawarkan pelbagai tawaran bagi membeli 30 ahli Parlimen BN. Namun, usaha tersebut menemui kegagalan.

Tidak berhenti setakat itu, kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang menang dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) turut melakukan hal sama.

Tindakan jual beli ahli Parlimen rancak berlaku bagi mengukuhkan kedudukan kerajaan. Hasilnya berduyun-duyun ahli UMNO keluar meninggalkan perjuangan.

Dalam situasi RUU Anti Lompat Parti belum ada sekarang, pembangkang harus berjiwa besar dengan tidak mengganggu perjalanan kerajaan dalam penggal yang berbaki ini.

Pembangkang dan kerajaan harus bekerjasama erat dengan melontarkan idea melalui perbahasan berkualiti di Parlimen.

Dengan cara ini, rakyat boleh menilai kredibiliti dan wibawa kedua-dua pihak bagi membolehkan mereka membuat keputusan pada PRU-15.

DR. ILYAS ABDULLAH, UiTM Pahang Kampus Raub.

POPULAR

KOSMO! TERKINI

BERITA BERKAITAN