fbpx

28 Jun 2022, 7:29 am

  TERKINI

Tidak sokong laksana semula GST

ADA pihak berpendapat GST dapat dilaksanakan semula dengan syarat ia dibuat dengan adil.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KETIKA dunia masih berdepan pandemik Covid-19, isu ekonomi mahupun kesihatan terus mendapat perhatian.

Kerajaan tanpa alpa terus memberi keutamaan dalam sektor kesihatan bagi menjaga kebajikan rakyat.

Namun, sektor ekonomi tidak boleh diabaikan bahkan perlu mendapat suntikan segera kerana pandemik berpanjangan ini akan memberi kesan ketara terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Kewibawaan jentera kerajaan menjadi tunjang terhadap keberkesanan pelaksanaan sesuatu dasar ekonomi.

Oleh yang demikian, aspek koordinasi dalam jentera kerajaan perlu sentiasa diberi perhatian agar manfaat sampai kepada golongan sasar dengan kadar segera.

Justeru, kematangan serta kebijaksanaan adalah penting bagi menangani kesan pandemik Covid-19.

Kerajaan perlu mengkaji segera sistem percukaian kerana cukai adalah antara sumber utama negara.

Kutipan cukai yang adil dan cekap dalam tempoh pandemik ini perlu bagi memastikan hasilnya dapat disalurkan kembali kepada rakyat demi kesejahteraan negara.

Tatkala rakyat sedang berperang dengan Covid-19, kerajaan tidak seharusnya menambah beban rakyat dengan kadar cukai tahunan.

Jika dirujuk pada teori Keluk Laffer yang mengatakan jika kerajaan ingin meningkatkan pendapatan negara daripada percukaian, kadar cukai yang dikenakan mesti tidak terlalu rendah dan tidak terlalu tinggi.

Apa yang boleh kerajaan perhalusi adalah mengenakan cukai sewajarnya terhadap sektor ekonomi yang meraih manfaat besar dalam tempoh pandemik ini.

Sebagai contoh, syarikat pengeluar sarung tangan getah dan institusi kewangan yang meraih keuntungan luar biasa ketika pandemik melanda berbanding syarikat pelancongan atau automobil.

Tidak adil untuk mengenakan kadar cukai yang sama iaitu 26 peratus sedangkan banyak sektor ekonomi tidak serancak sebelum Covid-19 melanda.

Dalam pada itu, pada Jun lalu, Pengarah Eksekutif Majlis Tindakan Ekonomi (EAC), Profesor Tan Sri Dr. Noor Azlan Ghazali mencadangkan dilaksanakan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST) kerana dapat membantu kerajaan menambah baik sistem kutipan cukai.

Beliau berpendapat, GST dapat dilaksanakan dengan syarat ia dibuat dengan adil dan rakyat dapat memahami manfaatnya kepada negara.

Cadangan itu kemudiannya timbul lagi sejak akhir-akhir ini menjelang pembentangan Bajet 2022.

Kami berpendapat, GST tidak wajar diperkenalkan semula dalam tempoh terdekat terutama dalam waktu yang sukar buat rakyat.

Tambahan, banyak sektor perniagaan tidak beroperasi sepenuhnya. Sistem cukai yang efisien memberi kesan positif terhadap pertumbuhan ekonomi sekali gus meningkatkan keharmonian negara.

Jika pada pembentangan bajet sebelum ini kerajaan memberi insentif penolakan cukai seperti perbelanjaan berkaitan Covid-19 termasuk pembelian berkaitan teknologi maklumat (IT), maka pada tahun ini juga kerajaan perlu mengekalkan dan pertingkatkan insentif buat rakyat.

Sebagai contoh, insentif penolakan pembelian kenderaan dan kediaman. Ini kerana apabila kuasa membeli ada pada rakyat maka peningkatan transaksi akan menyumbang kepada rancaknya ekonomi negara.

Bagaimanapun, setiap individu di negara ini perlu berusaha bersama-sama bagi mengembalikan kegemilangan sektor ekonomi.

Tanggungjawab ini tidak seharusnya dipikul oleh kerajaan semata-mata.

AFIDAH SAPARI & SITI ANIS NADIA ABU BAKAR,  Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Melaka.

POPULAR

KOSMO! TERKINI