Tidak perlu risau anak kembali ke kampus - Utusan Malaysia

Tidak perlu risau anak kembali ke kampus

UUM kini di fasa akhir menyiapkan garis panduan lengkap kemasukan pelajar menjelang Oktober nanti.-GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG, 

PENGURUSAN Universiti Utara Malaysia (UUM) bersiap sedia untuk menerima kemasukan pelajar secara fizikal bagi Sesi Akademik 2021/2022 dalam semua fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN) bermula Oktober ini seperti dinyatakan Menteri Pengajian Tinggi , Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad baru-baru ini.

Melalui Pelan Pemulihan Institusi Pengajian Tinggi (PEMULIH IPT) akan membolehkan pelajar yang lengkap divaksinasi pulang ke IPT seperti diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dalam perutusan khas beliau pada 22 Ogos lalu. 

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin juga bersetuju menjayakan agenda ini dengan mencadangkan supaya pelajar dan staf IPT diberikan keutamaan untuk mendapat vaksin di lokaliti masing-masing terlebih dahulu.

Bagi merealisasikan pelajar yang akan pulang ke kampus, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) yang menjalankan fungsi sebagai Naib Canselor, Profesor Dr. Haim Hilman Abdullah memberitahu, pihaknya dalam proses akhir menyiapkan garis panduan lengkap kemasukan pelajar dengan pembabitan semua jabatan di kampus termasuk Jabatan Hal Ehwal Akademik, Jabatan Pembangunan dan Penyelenggaraan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar (JHEP), Jabatan Keselamatan dan Teknologi Maklumat UUM (UUMIT).

Bagi pelajar yang akan pulang ke kampus nanti, mereka akan ditempatkan di Inapan Siswa masing-masing melalui pendaftaran yang dibuat di Pusat Penginapan Pelajar berbanding sebelum ini ditempatkan di lokasi pusat kurantin di Bukit Kachi.

Dalam pada itu, pihak universiti juga sedang berusaha untuk menyediakan kemudahan internet yang terbaik bagi kegunaan pelajar semasa mengikuti pembelajaran.

Bukan itu sahaja, perkhidmatan kaunseling dan penyediaan alat sokongan untuk mereka yang memerlukan juga tetap diberi perhatian agar proses pembelajaran berjalan lancar.

Namun pada masa sama, pelajar yang tidak pulang ke kampus tetap diberi perhatian dan mereka boleh menghubungi pihak universiti untuk mendapatkan sebarang bantuan atau maklumat sepanjang pengajian mereka.

Ini selaras dengan hasrat kementerian untuk melihat proses pembelajaran dapat diberikan kepada anak bangsa walaupun negara dan dunia masih dalam pandemik Covid-19.

Ibu bapa atau waris juga tidak perlu bimbang dengan keselamatan anak-anak mereka kerana proses kemasukan ke kampus juga dijalankan dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Oleh itu, semua pelajar dan waris diharap dapat memberi kerjasama untuk proses kepulangan pelajar nanti.

SAMSUDIN OLI MOHAMED, UUM, Sintok, Kedah

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya