Syor Belanjawan 2022 naik cukai vape - Utusan Malaysia

Syor Belanjawan 2022 naik cukai vape

GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAUDARA PENGARANG,

KIRA-KIRA 11 tahun lalu, pasaran tempatan mula dimasuki rokok elektronik atau vape yang kemudian berkembang pesat menjadi satu industri. Kini pasaran domestik produk berkenaan dianggarkan bernilai lebih RM2.27 bilion.

Dalam tempoh beberapa tahun lagi, nilai pasaran industri ini yang kini melibatkan lebih 3,000 penggiat dalam pelbagai aktiviti berkaitan diramal mencecah RM10 bilion di Malaysia jika ada rangsangan munasabah diberikan oleh kerajaan.

Rantaian pengeluaran vape sangat luas, bermula dari aktiviti pengeluaran bahan mentah kepada pengilangan dan kemudian peruncitan serta eksport dan import.

Pada 2019 sahaja, kajian mendapati sebanyak RM450 juta dibelanjakan untuk membayar gaji kira-kira 15,000 pekerja dalam industri ini.

Hakikatnya, industri vape di Malaysia terlalu besar dan diramal terus berkembang pesat untuk dibiarkan tanpa sebarang kawal selia melalui penggubalan undang-undang atau peraturan khusus termasuk dalam aspek percukaian yang seterusnya memberi manfaat kepada ekonomi negara.

Kini, negara dilanda kemelut ekonomi ekoran penularan pandemik Covid-19. Oleh itu, apa sahaja punca yang boleh menjana perolehan kepada kerajaan termasuk industri vape perlu diberi perhatian menyeluruh.

Memang dalam pembentangan Belanjawan 2021, kerajaan memperkenalkan cukai untuk industri vape, namun kadarnya hanya 40 sen bagi setiap mililiter (ml) cecair yang dilihat terlalu rendah.

Ada yang lebih dikhuatiri jika kerajaan mengenakan cukai sama bagi cecair vape mengandungi nikotin dan tanpa nikotin.

Walaupun cukai yang sama mudah diselenggara, namun hakikatnya ia akan membawa kesan amat buruk kepada sistem kesihatan negara.

Berdasarkan laporan daripada komuniti vape di Malaysia, sekurang-kurangnya 95 peratus daripada cecair vape yang dijual di pasaran negara ini mengandungi nikotin.

Justeru, jika cukainya rendah bermakna kerajaan akan mendapat perolehan hasil yang rendah.

Mengikut sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Advokasi Jenama Runcit dan Dagang Malaysia, kerajaan dijangka memungut hasil lebih RM300 juta jika cukai ke atas vape dilaksanakan dengan sempurna.

Namun, angka itu juga dipercayai jauh lebih rendah berbanding hasil yang sepatutnya masuk ke kantung negara.

Hasil satu kajian lain baru-baru ini seperti dilaporkan oleh media tempatan, cecair vape yang tidak dikenakan cukai di negara kita sekarang adalah bersamaan 12.5 bilion batang rokok.

Menurut seorang pegawai dari syarikat Japan Tobacco International Berhad (JTI) seperti dipetik media, kerajaan boleh memungut cukai sekitar RM5 bilion jika industri vape dikenakan rejimen percukaian seperti dikenakan ke atas industri rokok dan tembakau.

Langkah mengenakan cukai lebih rendah untuk vape boleh dianggap sebagai galakan awal untuk perokok bertukar kepada vape.

Namun, apabila kadar cukai yang dikenakan rendah, perolehan cukai kerajaan juga jatuh dengan ketara.

Kadar 40 sen ke atas cecair vape adalah antara paling rendah di dunia, hanya sedikit rendah berbanding kadar purata global yang kini sekitar 82 sen setiap ml.

Negara jiran kita, Filipina mengenakan kira-kira RM3.10 per ml dan Korea Selatan pula RM6.25 setiap ml.

Kadar cukai yang tinggi bukan sahaja dapat meningkatkan perolehan kerajaan, malah pada masa sama boleh menghantar mesej bahawa kerajaan juga tidak menggalakkan tabiat menghisap vape.

AHMAD FARHAN ADAM, Cyberjaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya